PAS akan bertanding lebih 130 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti, kata presidennya Abdul Hadi Awang, langsung menunjukkan kesungguhan parti Islam itu untuk merampas Putrajaya.
Kenyataan beliau itu berlawanan dengan kenyataan pemimpin PAS lain sebelum ini yang mengatakan PAS sebagai penentu (king maker) jika Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak berjaya memperoleh majoriti mutlak pada PRU14.
“Kita sasarkan lebih 130 kerusi supaya dapat menang dengan majority yang mudah,” kata Hadi kepada pemberita selepas Fastaqim 2.4, yang juga pelancaran jentera PAS Selangor di Shah Alam hari ini.
“Kita mahu bentuk kerajaan dan sertai kerajaan yang dibentuk,” katanya menambah yang PAS akan bertanding PRU14 sebagai sebahagian dari gabungan Gagasan Sejahtera Rakyat.
Tambah Hadi, PAS juga berhasrat untuk mengambil alih kerajaan Selangor.
Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut berapa banyak kerusi Adun Selangor yang akan ditandingi PAS.
“Seboleh-bolehnya kita mahu memimpin negeri Selangor atau berlaku perubahan di Selangor. Yang pertama kita memimpin, yang kedua kita buat perubahan atau jadi parti penentu untuk buat perubahan,” kata Hadi.
Buat masa sekarang PAS masih dalam kerajaan Selangor bersama PKR dan DAP. Namun, dijangkakan parti Islam itu akan menentang dua parti itu dalam PRU14 kelak.
“Kita sasarkan seberapa banyak di Selangor itu akan dilihat pada penamaan calon,” jawab Hadi kepada persoalan berapa banyak kerusi yang akan ditandingi partinya di Selangor kelak.
Bagaimanapun PAS tidak akan menamakan calon Menteri Besar, walaupun parti itu berhasrat untuk mengambil alih Selangor.
“Ia andaian. Kita menang kerusi dulu. Kalau kita umumkan dan dia kalah di kerusi dia, itu tak betul.
“Pilihan raya di sini bukan macam kat Amerika (Syarikat). Lepas pilihan raya (kita umum),” katanya. – 21 Januari, 2018.
Komen