PGA rampas rokok putih bernilai RM660,000


BATALION Ke-8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) merampas rokok putih bernilai RM660,000 termasuk cukai selepas menahan seorang ‘transporter’ atau pengangkut bersama sebuah lori di Jalan Tendong-Mulong, Kota Bharu, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA Hasan Basri Ahmad Safar, berkata lelaki berusia 44 tahun itu ditahan pada jam 9 pagi oleh anggota Unit Task Force PGA8 ketika memandu lori itu yang sepatutnya digunakan untuk membawa baja sebaliknya disalah guna dengan membawa barangan berkenaan.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan lelaki itu, dia hanya bertindak sebagai pengangkut dan diarahkan membawa semua rokok yang dimuatkan di dalam 88 kotak besar dari Kelantan ke Johor.

“Kita juga mendapati ada surat kebenaran beroperasi yang dipercayai dipalsukan bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Kem PGA8 Pengkalan Chepa.

Hasan Basri berkata, jumlah keseluruhan rampasan dianggar bernilai RM783,011 termasuk rokok bernilai RM660,000, lori (RM120,000), wang tunai (RM1,511), telefon bimbit (RM1,200) serta sekeping kanvas penutup lori (RM300).

Beliau berkata, semua rokok itu disyaki diperoleh dari negara jiran dan dibawa sama ada melalui jalan sungai atau laut.

“Polis akan mempergiat operasi membanteras sindiket penyeludupan rokok tanpa lulus kastam terutama di sekitar negeri Pantai Timur. Kegiatan ini perlu dibendung kerana menyebabkan kerugian lebih RM5 bilion setahun kepada kerajaan,” katanya dan menegaskan kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – Bernama, 28 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen