Kerjasama rentas parti langkah tepat, kata PAS


Ravin Palanisamy

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menyambut baik respons pemimpin parti pembangkang utama terhadap usaha pemulihan negara dilakukan kerajaan persekutuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Ogos, 2021.

PAS bersetuju dengan pendekatan kerjasama politik rentas parti ketika negara bergelut dengan krisis kesihatan, ekonomi dan sosial, kata Takiyuddin Hassan.

Setiausaha agung parti Islam itu berkata gesaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk mewujudkan kerjasama bipartisan di negara ini, merupakan langkah yang tepat.

“Ini merupakan suatu pendekatan politik matang yang berpaksikan kepada keutamaan kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat tanpa mengambil kira sebarang perbezaan.

“PAS berpandangan langkah yang diambil adalah selaras dengan realiti politik masa kini dalam konteks pentadbiran negara di seluruh dunia di mana tidak wujud dominasi satu-satu parti politik selepas sesuatu pilihan raya umum diadakan,” kata Takiyuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam ucapan sulungnya, Ismail Sabri berkata pentingnya kestabilan politik dicapai dengan segera melalui kebersamaan, dan ini termasuk kerjasama antara parti.

“Kita perlu mencari asas persamaan dan bergerak menuju kesepakatan demi kesejahteraan keluarga kita, Keluarga Malaysia,” kata Ismail.

Takiyuddin, yang merupakan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkata beliau menyambut baik maklum balas para pemimpin parti pembangkang utama di negara ini terhadap usaha pemulihan negara dilakukan oleh kerajaan persekutuan.

“Ini memberikan ruang yang luas kepada semua pihak untuk sama-sama menyumbang idea dan buah fikiran dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 serta kesan-kesannya termasuk aspek ekonomi dan sosial,” katanya.

Takiyuddin, ahli Parlimen Kota Bharu juga berkata parti yakin kerajaan akan terus berinteraksi dan mewujudkan kerjasama lebih membina yang melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk pembangkang terhadap langkah reformasi yang merangkumi semua sektor, institusi dan segmen masyarakat.

Beliau berharap ini menjadi permulaan baik bagi pembentukan landskap baharu politik di negara ini yang menghargai kesejahteraan, keharmonian dan keadilan bagi semua warga yang terdiri daripada masyarakat majmuk. – 26 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen