Ismail tawar pembangkang sertai Majlis Pemulihan Negara


Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata kestabilan politik perlu dicapai melalui kerjasama termasuk dengan usaha rentas parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Ogos 2021.

ISMAIL Sabri Yaakob menawarkan pembangkang menyertai Majlis Pemulihan Negara dan juga jawatankuasa khas menangani Covid-19 sebagai satu usaha meredakan krisis politik dalam negara.

Katanya tawaran itu juga bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong agar kesemua pemimpin parti berdamai dan menghentikan perebutan kuasa demi kesejahteraan rakyat.

“Justeru, saya ingin menawarkan ruang kepada (pemimpin) pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19,” katanya.

Kestabilan politik perlu dicapai melalui kerjasama termasuk dengan usaha rentas parti seperti itu, katanya.

“Kesemua pihak sepatutnya sedia bekerja dalam satu pasukan demi mengharmonikan semula suasana. Dalam erti kata lain, kita perlu mendakap erat prinsip kebersamaan.

“Saya faham, kemelut politik yang melanda negara menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat. Oleh itu, kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan.

“Ini termasuklah mewujudkan kerjasama rentas parti,” katanya dalam ucapan disiarkan langsung itu.

Beliau selanjutnya menyeru semua pihak untuk turut bekerjasama dalam pentadbiran baharu yang dipimpinnya untuk memulihkan negara.

Bagi mempromosi mesej perdamaian dan kerjasamanya itu, Ismail juga memperkenal slogan baharu “Keluarga Malaysia” untuk pihak mengetepikan perbezaan.

“Marilah kita bergerak ke hadapan. Kita leraikan segala perebutan kuasa politik.

“Kita bersama-sama berjuang sebagai sebuah keluarga besar yang merangkumi penjawat awam, pekerja swasta dan yang bekerja sendiri – dalam memperbaik, merawat dan memulihkan semula tanah air ini.”

Beliau menyatakan tawaran tersebut dalam kenyataan sulungnya sebagai perdana menteri kesembilan hari ini, sehari selepas mengangkat sumpah jawatan itu.

Ucapan disiarkan langsung itu bagaimanapun tidak menyatakan sebarang rancangan bagi mengadakan undi percaya di Dewan Rakyat.

Yang di-Pertuan Agong pada Rabu lalu menitahkan perdana menteri yang bakal dilantik ke jawatan itu perlu mengadakan undi tersebut segea bagi mengabsahkan kedudukannya.

Selanjutnya, Ismail ketika menyatakan penghargaan kepada Muhyiddin Yassin menganggap perdana menteri kelapan itu berusaha sepenuh tenaga menangani kemelut bersama kabinet Perikatan Nasional.

Beliau bagaimanapun tidak menganggap pentadbiran kerajaan yang dipimpinnya ini sebagai kerajaan parti tersebut, tetapi kerajaan dengan sokongan parti berbeza.

Dalam ucapan itu, penghargaan beliau juga diutamakan kepada ahli Dewan Rakyat dari parti bawah panji Barisan Nasional (BN) – Umno, MCA, MIC dan PBRS.

“Penghargaan turut dizahirkan kepada rakan-rakan ahli Dewan Rakyat daripada Bersatu, PAS, GPS, STAR, PBS, SAPP, juga ahli Dewan Rakyat Bebas yang memungkinkan terbentuknya kerajaan pada hari ini.”

Ismail mengambil alih selepas Muhyiddin Yassin meletak jawatan apabila Umno menarik sokongan ke atas perdana menteri kelapan itu.

Muhyiddin terpaksa berbuat demikian apabila pembangkang enggan menerima tujuh tawaran bagi mendapat sokongan bipartisan dan membolehkannya kekal di jawatan terbabit.

Tujuh tawaran melibatkan usaha pengukuhan Parlimen itu juga tidak dinyatakan dalam ucapan Ismail hari ini walaupun ditagih pembangkang. – 22 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen