PENDAKWAH kontroversi Zamihan Mat Zin meminta Dr Mahathir Mohammad bertaubat dan belajar agama bagi menebus kesalahan beliau sepanjang memerintah negara, dan bukannya terus sibuk berpolitik.
“Orang tua umur 93 tahun patut masuk pondok, mengaji kitab, zikir banyak-banyak, bertaubat. Minta maaf kepada semua manusia di atas kesilapan lalu dan buat amal jariah banyak untuk akhirat patutnya.
“Tak payah politiklah kalau tua bangka dekat nak mati ni,” katanya dalam satu wawancara langsung di laman Facebook Watan Online hari ini.
Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) itu menjawab soalan mengenai cadangan Pakatan Harapan menamakan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sekiranya menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.
Dalam jawapannya itu, Zamihan turut menuduh Dr Mahathir sebagai pemimpin yang merasakan “dirinya saja dan orang lain semua salah” kerana katanya penglibatan bekas perdana menteri itu dalam politik hanyalah kerana mahukan kesenangan duniawi semata-mata.
“Sebab itu dia melihat orang lain bodoh belaka, dia seorang saja yang cerdik. Orang lain tak pandai, tak bijak, fikir selapis, mana boleh fikir begitu. Masa berkuasa dia buat macam-macam. Hingga sanggup keluarkan arahan yang melukakan hati rakyat, yang meragut nyawa rakyat.
“Tapi bila orang lain perintah kita kata tak setuju, tak maju. Kemudian nak buat ‘comeback’ balik pada masa penghujung usia sebab dulu kita berkuasa dengan niat tak betul. Hamba kepada dunia. Ini sesuatu yang tak patut bagi saya,” kata beliau lagi.
Dalam pada itu, Zamihan turut memberi fatwa haram mengundi DAP bagi orang Islam kerana parti itu menentang usaha PAS meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 menerusi Rang Undang-Undang 355 di Parlimen.
RUU 355 adalah untuk meluaskan kuasa mahkamah syariah di Malaysia untuk menjatuhkan hukuman lebih berat kepada pesalah.
“Jika jelas DAP itu bertentangan dengan Islam dan anti Islam, maka haram untuk umat Islam menyokong aspirasi perjuangan DAP, mengundi DAP. Bukan haram kering, tetapi haram basah.
“Orang DAP nak marah saya tidak apalah, saya tidak ada kepentingan pada Umno, Amanah, PAS, PKR. Kita NGO. Kita bersuara demi kebenaran, mencari keredaan Allah, bukan orang kata bayar duit pada kita.
“Haram mengundi, haram menyokong, haram membantu dan banyak-banyak benda haram itu kesimpulannya haram jadah,” kata beliau.
November lalu, tular di media sosial rakaman video menunjukkan Zamihan mengkritik pentadbiran Najib “kurang cerdik” kerana memberikan tanah seluas 16 hektar kepada Arab Saudi untuk membina Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) di Putrajaya.
Menurut Zamihan, kerjasama Malaysia dengan Arab Saudi untuk melawan pengganas Daesh itu tidak realistik kerana negara itu sendirilah yang melahirkan Daesh.
Sebulan sebelum itu, Zamihan ditahan reman dua hari bagi membantu siasatan mengikut Akta Hasutan 1948 kerana ceramahnya di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Shah Alam yang didakwa menghina kaum lain serta kritikan terhadap Sultan Johor berhubung titah tuanku mengenai kedai dobi layan diri untuk Muslim saja.
Jabatan Agama Islam Selangor juga mengharamkan Zamihan daripada memberi ceramah di masjid dan surau negeri, manakala Majlis Agama Islam Selangor mengarahkan siasatan terhadap Zamihan kerana didakwa mengkritik institusi diraja semasa ceramahnya.
Sementara itu, beberapa pihak mempersoalkan penglibatan Zamihan dalam program pemulihan militan, dengan pandangan terbaru disuarakan oleh MCA.
Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA Ti Lian Ker berpendapat kerajaan tidak sepatutnya mempertahankan Zamihan Mat Zin sebaliknya memulihkan pegawai agama itu terlebih dahulu sebelum beliau diberikan peranan memulihkan orang lain.
Zamihan juga berdepan tindakan saman RM1 juta oleh penceramah Kanada, Bilal Philips yang mendakwa kakitangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu memfitnah beliau sebagai pengganas.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam merekod persetujuan kedua-dua pihak untuk Bilal membayar RM30,000 kepada mahkamah sebagai jaminan kos. Kes ditetapkan untuk perbicaraan antara 31 Julai hingga 3 Ogos ini. – 20 Januari, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Peter Johnson · Ulasan
Death is more universal than life; everyone dies
we cannot predict whether the younger will outlive the older or vice versa
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Satkunabalan Sabaratnam · Ulasan
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Kuasa Rakyat · Ulasan
RUU355?...bukan hukum Allah...tapi hukum ciptaan manusia.
RUU355....kepincangan dalam keadilan
Hukum Allah...keadilan menjadi teras dan tiada perbezaan untuk mana mana golongan.
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Putra Kraken · Ulasan
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan