Ringgit kukuh, saham naik bukan petanda ekonomi rakyat baik


Amin Iskandar

Keadaan ekonomi sesebuah negara boleh dianggap baik sekirnaya semua golongan mendapat manfaat daripadanya terutama yang berpendapatan rendah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Januari, 2018.

PENGUKUHAN nilai ringgit dan kenaikan pasaran saham tidak semestinya bermaksud kedaan ekonomi rakyat berada dalam tahap baik, kata seorang ahli ekonomi.

Pengasas dan Ketua Ekonomi DM Analytics Dr Muhammed Abdul Khalid berkata ini kerana nilai mata wang dan pasaran saham bukanlah petunjuk secara langsung penambahbaikan sesuatu ekonomi.

“Ringgit mengukuh daripada RM4 lebih berbanding AS$1 kepada RM3.9 berbanding AS$1 bermaksud ekonomi berada dalam keadaan baik? Mereka ini mempunyai ingatan yang tak berapa baik dan sempit.

“Mereka lupa antara pertengahan 2011 hingga Oktober tahun lepas ringgit jatuh hampir 40%. Tahun 2016 ringgit jatuh lebih kurang 5%, tahun sebelum itu ringgit jatuh hampir 23%. Ringgit masih lemah berbanding beberapa tahun yang lepas,” kata Muhammed dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insight di Kuala Lumpur.

Muhammed merupakan penulis buku “The Colours of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia” dan “Antara Dua Darjat: Agihan Pendapatan di Malaysia” yang laris di pasaran.

Beliau berkata untuk menilai adakah ekonomi sesebuah negara berada di landasan yang betul, beberapa petunjuk boleh diguna pakai terutamanya kesan pertumbuhan kepada kesejahteraan rakyat, seperti peluang pekerjaan yang lebih berkualiti, penambahbaikan gaji, taraf hidup lebih baik, keadilan pengagihan kekayaaan, dan juga bagaimana pertumbuhan ekonomi dijanakan.

“Kita kena lihat jangka masa panjang. Bukan hanya dengan dolar Amerika kita lemah, malah dengan negara jiran yang miskin pun duit kita jatuh. 

“Sejak 2012, duit kita makin lemah berbanding Filipina, berbanding Thailand, malah berbanding dengan Bangladesh pun kita lebih teruk,” katanya.

Awal bulan ini ringgit mengukuh ke paras tertinggi berbanding satu dolar AS sejak Ogos 2016 ekoran peningkatan harga minyak mentah.

Disebabkan itu, ada pakar ekonomi yang mengatakan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang dan pengukuhan ringgit menyebabkan kenaikan pasaran saham Malaysia dengan Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI mencatat prestasi bulanan terbaiknya dalam tempoh lima tahun pada Disember.

Pengasas dan Ketua Ekonomi DM Analytics Dr Muhammed Abdul Khalid berkata ini kerana nilai mata wang dan pasaran saham bukanlah petunjuk secara langsung penambahbaikan sesuatu ekonomi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 21 Januari, 2018.

Muhammed yang pernah berkhidmat dengan Khazanah Research Institute (KRI) dan Institute Kajian Strategik dan Antarabangsa (Isis) berkata, jika kenaikan pasaran saham merupakan petunjuk sesebuah ekonomi itu berada dalam keadaan baik, keadaan Venezuela boleh dijadikan perbandingan.

“Tahun lepas negara mana yang mempunyai kenaikan pasaran saham tertinggi? Venezuela naik hampir 4,000%. Ekonominya kuncup lebih 20% tahun sebelum itu,” kata lulusan ijazah kedoktoran dari salah sebuah universiti elit di Perancis.

KDNK atau kesejahteraan rakyat?

Menurut Muhammed, dalam menilai baik buruknya sesuatu ekonomi, aspek yang perlu dilihat ialah sejauh mana ia memberikan manfaat kepada rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah.

“Saya kurang memberikan penekanan tentang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), macam penganalisis-penganalisis bank. Mereka ini terlalu fanatik dengan KDNK. 

“KDNK hanya melambangkan pengeluaran dari sesuatu negara, ia tidak memberi tahu kita jika pertumbuhan itu disebabkan kita semua berhutang, ataupun disebabkan kita cemarkan hutan dan sungai, atau apakah pertumbuhan ekonomi itu memberi manfaat kepada rakyat.

“Potong pokok hutan supaya kita boleh eksport lebih kayu balak, cemarkan sungai supaya lebih untung apabila eksport bauksit dan sebagainya bagus untuk KDNK, tapi adakah itu yang kita mahu?

“Beberapa tahun lalu di Itali, KDNKnya naik bertambah satu peratus kerana mereka tambah aktiviti pelacuran dan penjualan dadah dalam kiraan KDNK.

“KDNK bukan petunjuk kesejahteraan rakyat. Jika kita samakan KDNK dengan kesejahteraan rakyat, itu buta ekonomi. Isu rakyat bawahan, isu peluang pekerjaan, kesamarataan, itu lebih penting,” katanya.

Jelas Muhammed, walaupun pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka meningkat pada 2018, beliau masih sangsi sama ada golongan berpendapatan rendah akan turut menikmatinya.

“Pada 2018, ekonomi (Malaysia) akan terus positif, tetapi persoalannya adakah pertumbuhan ekonomi akan dinikmati oleh rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah?

“Kerajaan mempunyai matlamat yang betul, seperti digariskan di dalam Rancangan Malaysia ke-11 apabila ia mempunyai objektif supaya pertumbuhan ekonomi haruslah saksama. 

“Salah satu indikatornya adalah golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40), akan mendapat manfaat yang lebih berbanding golongan pertengahan dan golongan atasan,” kata ahli ekonomi kelahiran Pulau Pinang itu.

Menurut Muhammed ekonomi sesuatu negara itu dalam keadaan baik apabila semua golongan mendapat manfaat daripadanya.

“Semua patut dapat manfaat, bukan sahaja orang bawah tetapi juga golongan atas. Tetapi, kesan pertumbuhan ekonomi haruslah lebih tinggi kepada golongan berpendapatan rendah atau golongan bawah.

“Ini tidak berlaku kebelakangan ini. Sebab apa saya cakap begitu? Sebabnya walaupun antara 2014 hingga 2016 ekonomi berkembang, tetapi jurang antara miskin dan kaya tidak berubah langsung,” kata Muhammed yang diberi gelaran pakar ekonomi berjiwa rakyat apabila temubual beliau berkenaan Bajet 2018 dengan stesen televisyen tempatan menjadi tular.

Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi antara 2014 hingga 2016 juga tidak memberikan manfaat kepada golongan bawahan.

“Data dari Unit Perancang Ekonomi (EPU) menunjukkan peratusan pendapatan kepada golongan ini jatuh, bukannya naik,” katanya.

Laporan pendapatan isi rumah 2016 dikeluarkan EPU menyatakan agihan pendapatan bagi kumpulan isi rumah B40 jatuh dari 16.8% pada 2014 kepada 16.4% pada 2016.

“Nah, patutkah kita bangga dengan KDNK tetapi golongan bawahan makin ke belakang? Jawapannya jelas, tidak” tegas Muhammed. – 21 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen