Demokrasi bukan lagi di tangan rakyat


Naim Al-Kalantani

SEBELUM pertukaran perdana menteri, sudah ada ura-ura besar untuk Ismail Sabri Yaakob mendapat mandat itu.

Dua tiga hari berputar isu ini di media sosial sejurus sahaja perletakan jawatan Muhyiddin Yassin kerana hilang kepercayaan daripada Ahli Dewan Rakyat.

Situasi sebegini tidak pernah berlaku dalam sejarah peradaban Malaysia – seorang perdana menteri membuat siaran langsung mengumumkan dia kehilangan sokongan.

Selepas beberapa hari, kita ada perdana menteri baharu yang diwakili oleh Umno. Saya tidak pelik Ismail Sabri menjadi perdana menteri (akibat sokongan Ahli Dewan Rakyat), tetapi saya kecewa dengan struktur demokrasi di negara ini.

Kita ingat kembali kepayahan rakyat mengundi pada Rabu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bagi mendapatkan cuti pada hari itu, bukan kepalang payahnya. Warga net bertungkus lumus mengeluarkan vokal masing-masing melalui maya.

Beberapa kempen disekat, tetapi bagusnya 2018 tempoh hari kita menerima ledakan ICT yang memuaskan, yang dapat kita membuat siaran langsung tanpa perlu mengikuti jalur arus perdana iaitu televisyen dan radio.

Calon Pakatan Harapan (PH) menang 113 kerusi dan selebihnya dimenangi parti Barisan Nasional (BN), PAS, dan lain-lain.

Kemenangan mereka ini tidak diragui lagi datang daripada tangan rakyat yang mengundi.

Di pusat pengundian, kita sudah maklum apa yang berlaku pada ketika itu: orang beratur di barisan yang panjang, tidak berganjak dari barisan walaupun sudah 5 petang, dan beberapa lagi adegan yang rakyat tidak dapat lupakan.

Kemenangan PH dan kekalahan Umno-BN pada ketika itu datangnya dari jari-jari rakyat dalam celupan dakwat biru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dan sememangnya pada ketika itulah rakyat menjadi “tuhan” bagi calon-calon ini.

Saya tidak mahu menyentuh pengkhianatan tragedi Langkah Sheraton. Langkah ini pun sangat kompleks dan kemungkinan masyarakat awam tidak memahami bagaimana gerakan ini terjadi.

Apa yang saya ingin sampaikan di sini, perkara yang telah menjadikan demokrasi kita jijik pada hari ini, seorang wakil rakyat Umno menjadi perdana menteri pada hari ini.

Barang diingatkan, PRU14 yang mana rakyat bersusah payah pada ketika itu memenangkan PH, tidak diendahkan pada hari ini.

Pemilihan wakil Umno pada hari ini bagi saya satu kesalahan besar: Bagaimana parti yang kalah mendapat mandat rakyat menjadi perdana menteri?

Saya menolak untuk bercakap mengenai keputusan Yang di-Pertuan Agong semalam.

Bagi saya, lunas undang-undang telah baginda turuti dengan baik dengan memilih calon yang mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Tetapi perlu diketahui, 220 orang Ahli Dewan Rakyat memilih perdana menteri ini seolah-olah tidak menghirau pandangan rakyat di bawah.

Rakaman video di media sosial berbual dengan Tuanku sepatutnya tidak ditularkan.

Ahli Dewan Rakyat yang memuat naik gambar bersama surat akuan yang menyatakan sokongan calon perdana menteri tertentu telah melanggar titah Tuanku Agong. 

Perkara ini sepatutnya kita sebagai rakyat di bawah yang mencalit dakwat biru tadi perlu melihat dalam kerangka yang lebih besar.

Perbuatan yang melanggar titah Tuanku Agong ini sepatutnya diberi amaran keras dan diambil tindakan.

Sangatlah tidak logik dek akal apabila perdana menteri bukan daripada golongan parti yang menang pilihan raya. Jadi, sebenarnya buat apa kita adakan pilihan raya? 

Perkara paling penting – sekurang-kurangnya bagi saya – ialah pemilihan calon di peringkat Parlimen dan boleh mencapai majoriti untuk memilih calon perdana menteri.

Tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia ini parti yang kalah dapat menjadi PM!

PRU15 akan datang selewat-lewatnya akan berlangsung pada 2023 dan rakyat perlu ingat tragedi hitam semalam.

Masukkan ia dalam diari masing-masing untuk kita renung kembali bagaimana permainan politik yang secara terang-terangan hanya menambah emas dan permata dalam bakul masing-masing. 

Hanya jawatan mereka fikirkan ketika ini tanpa memikirkan mandat rakyat.

Rakyat di bawah ini sudah berapa ribu orang mati akibat Covid, rakyat di bawah ini sudah berapa ramai yang hilang pekerjaan, tiada makanan, sanggup untuk mencuri sayur di Mydin, dan beberapa tragedi yang tak tercapai dek akal sebagai manusia sihat untuk membuat perkara sedemikan termasuklah bunuh diri.

Tetapi warlord di atas ini hanya mengenyangkan perut-perut mereka.

Jawatan dan sokongan berebutan sana-sini. Melobi sana sini sehingga melanggar SOP yang ditetapkan.

Anak-anak muda nampak permainan mereka ini, tetapi kami terkepung dalam SOP akibat pandemik Covid-19 ini – jika tidak, Dataran Merdeka yang kami rindui telah penuh dengan manusia yang membuak-buak amarahnya.

Apa yang berlaku sekarang perlulah diingat kembali semasa celupan jari dalam dakwat biru SPR kelak. Ismail Sabri menjadi perdana menteri Malaysia ke-9 ini tidak dapat tidak kita terpaksa senaraikan ia dalam senarai tragedi hitam buat negara ini. 

Keputusan bukan lagi terletak pada jari rakyat, tetapi pada tandatangan surat akuan Ahli Dewan Rakyat.

Saya turut memahami tidak dapat dijalankan PRU akibat kita masih dalam pandemik yang menekan ini, tetapi perlembagaan kita sendiri membuka ruang ini untuk rakyat melihat satu upacara yang memungkinkan tidak memerlukan PRU pun untuk menjatuhkan sesebuah kerajaan. 

Jadi, soalannya, apa gunanya PRU yang sebenar?

“Suara rakyat suara keramat” ini hanya akan berlaungan di media sosial sahaja, tetapi hakikat sebenar yang berlaku hari ini tidak dapat mengubah apa-apa.

Slogan itu hanya boleh digunakan ketika PRU dan dalam era ini, kemungkinan boleh mewujudkan kebisingan warga net yang menjadi vocal majority di media sosial.

Twitter Spaces, Clubhouse, Facebook, menjadi wadah untuk saling memberi pendapat yang mengutamakan hak-hak rakyat.

Tetapi hakikat pada hari ini, suara rakyat diketepikan apabila ahli-ahli politik ini bertindak hanya untuk mendapatkan kuasa yang mereka mahukan.

Jangan terkejut jika  tragedi ini akan berulang selepas PRU akan datang. Kemungkinan untuk parti yang tidak dipilih oleh rakyat dapat memerintah itu wujud.

Sejarah membuktikan ia dapat dilaksanakan dengan beberapa gerakan dan pengkhianatan. 

Jangan hairan jika PRU akan datang makin sedikit orang mengundi dan makin ramai membuang undi rosak – tidak mustahil mereka akan berfikiran bahawa undi mereka tiada guna jika kuasa tersebut tidak dikembalikan kepada rakyat akibat warlords yang bobrok di atas ini.

Jelas, PRU14 yang lalu rakyat membuat keputusan dengan memilih PH ke tampuk pimpinan, tetapi sehingga hari ini, permainan politik memungkinkan segala-galanya. – 21 Ogos, 2021.

* Naim Al-Kalantani, penuntut ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen