Ismail Sabri perlu jadi PM untuk semua, kata Guan Eng


Ravin Palanisamy

Tugas utama Ismail adalah untuk menyatukan semua rakyat Malaysia untuk memperbaiki kegagalan dan kesilapan dalam memerangi pandemik Covid-19, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Ogos, 2021.

ISMAIL Sabri Yaakob perlu menjadi perdana menteri buat semua rakyat Malaysia, kata Lim Guan Eng hari ini, ketika mengucapkan tahniah buat naib presiden Umno yang akan mengangkat sumpah jawatannya esok.

Setiausaha Agung DAP itu berkata kini Ismail Sabri perlu berkhidmat kepada rakyat tanpa ada prasangka buruk.

“Ismail perlu sedar bahawa beliau adalah Perdana Menteri kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Beliau perlu berkhidmat dan melindungi kepentingan setiap rakyat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang,” kata ahli Parlimen Bagan itu dalam satu kenyataan hari ini.

DAP merupakan parti Pakatan Harapan pertama yang mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri atas pelantikannya.

Awal hari ini, Yang di-Pertuan Agong bertitah majlis angkat sumpah Ismail Sabri sebagai perdana menteri kesembilan akan dibuat di Istana Negara esok.

Pengumuman itu dibuat dalam satu kenyataan oleh Istana Negara sejurus Seri Paduka Baginda mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu selama dua jam mengenai perakara itu. 

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin berkata perkenan itu berdasarkan surat akuan yang diterima daripada 114 ahli Dewan Rakyat pada 18 Ogos membolehkan Ismail mendapat majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Lim berkata, salah satu tugas utama Ismail adalah memperbaiki kesilapan dalam menangani krisis Covid-19 selain menyelamatkan ekonomi negara.

“Tugas utama Ismail adalah untuk menyatukan semua rakyat Malaysia untuk memperbaiki kegagalan dan kesilapan dalam memerangi pandemik Covid-19 yang mencecah rekod tertinggi sebanyak 23,564 kes pada 20 Ogos dan telah menyebabkan sejumlah 13,713 kematian dan 1,513,025 jangkitan.

“(Beliau juga perlu) membantu rakyat Malaysia untuk menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan dengan mengeluarkan ekonomi negara daripada kemelesetan,” kata bekas menteri kewangan itu.

Ismail Sabri, 61, merupakan perdana menteri ketiga yang memegang jawatan dalam tempoh tiga tahun, sejak 2018.

Pelantikannya dibuat berikutan peletakan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu setelah 15 ahli Parlimen Umno menarik sokongan terhadapnya sebagai perdana menteri.

15 ahli Parlimen Umno itu kemudian menyokong naib presiden Umno dan timbalan Muhyiddin, Ismail, untuk mengambil alih kerajaan Perikatan Nasional. – 20 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen