Ismail Sabri angkat sumpah jawatan PM esok, kata Istana Negara


Yang di-Pertuan Agong memperkenan pelantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri Malaysia ke-9, selepas mengadakan perbincangan dengan Raja-Raja Melayu petang ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 20 Ogos, 2021.

AHLI Parlimen Bera Ismail Sabri Yaakob akan mengangkat sumpah jawatan perdana menteri kesembilan esok, menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin.

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan pelantikan tersebut selepas mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara petang ini.

Menurut Ahmad Fadil, perkenan itu berdasarkan surat akuan yang diterima daripada 114 ahli Dewan Rakyat pada 18 Ogos membolehkan Ismail mendapat majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Baginda seterusnya menerima menghadap 114 ahli Dewan Rakyat itu semalam untuk mengesahkan kepercayaan mereka ke atas pencalonan Ismail, katanya.

“Sehubungan dengan itu dan selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik Yang Berhormat Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri Malaysia kesembilan.”

Tambahnya, Ismail bakal menerima suratcara pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan pada jam 2.30 petang esok di lstana Negara. 

Istana Negara dalam kenyataan Rabu lalu menegaskan, perdana menteri baharu itu perlu mendapatkan undi percaya di Dewan Rakyat sebaik sahaja dilantik ke jawatan itu.

Ia menyebut, baginda menitahkan calon perdana menteri kesembilan itu mengemukakan usul undi percaya secepat mungkin untuk mengabsahkan dirinya mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan.

Pelantikan itu bagi menggantikan Muhyiddin Yassin yang terpaksa meletak jawatan perdana menteri pada Isnin lalu ekoran tindakan 15 ahli Parlimen Umno yang menarik sokongan ke atasnya. – 20 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen