Tidak banyak perubahan jika Ismail Sabri jadi PM, kata penganalisis


Ragananthini Vethasalam

Sekiranya Ismail Sabri Yaakob dilantik menjadi perdana menteri, beliau perlu tegas dan menggugurkan mereka yang tidak menunjukkan prestasi yang baik dalam kabinet sebelum ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Ogos, 2021.

HANYA sedikit perubahan dijangka dalam barisan Kabinet sekiranya Ismail Sabri Yaakob dilantik menggantikan jawatan perdana menteri, kata penganalisis politik.

Menurut mereka, kemungkinan muka sama akan kembali ke kementerian mereka atau ditukarkan ke kementerian lain namun beliau mungkin bertegas serta menggugurkan sesiapa yang mempunyai prestasi kurang baik.

Profesor Pengajian Asia Universiti Tasmania dan Felo Kanan Institut Jeffrey Cheah Asia Tenggara, James Chin berkata kebangkitan Ismail ke tampuk kuasa menandakan kembalinya kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Kita tidak akan melihat perubahan besar dalam Kabinet. Kamu akan lihat kebanyakan mereka dalam Kabinet sebelum ini akan kembali. Sudah pasti beliau mungkin akan melantik satu atau dua muka baharu,” katanya dan menambah lebih ramai pemimpin Umno akan dilantik ke jawatan kanan Kabinet.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata cabaran terbesar bagi Ismail Sabri adalah untuk mengenal pasti kekurangan pada pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

“Dengan imej kerajaan gagal dan beliau juga sebahagian daripada kerajaan kleptokrat, beliau perlu menyahut titah Yang di-Pertuan Agong untuk menghulurkan tangan perdamaian dengan pembangkang,” katanya.

“Tugas berat, tetapi itu saja pilihan yang ada bagi mewujudkan kestabilan politik,” katanya.

Katanya, Ismail Sabri harus memberi perhatian kepada saiz kabinet dan memastikan menteri berwibawa dilantik untuk menyelesaikan masalah yang ditinggalkan oleh pentadbiran sebelumnya.

Kerajaan PN di bawah bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin menerima kritikan kerana mempunyai Kabinet paling besar dengan 70 ahli.

Beliau berkata Ismail Sabri hanya perlu memfokuskan kepada pemulihan negara dan mencari formula terbaik untuk tujuan itu.

“Rakyat perlu ditenangkan. Covid-19 mesti diatasi dengan langkah yang berkesan. Ekonomi perlu dipulihkan segera. Semua ini cabaran getir dan maha hebat.

“Kerusi perdana menteri bukan kerusi empuk lagi buat beliau. Kerusi yang sangat panas dan berduri,” katanya.

Katanya sebarang kesilapan langkah akan mencetuskan kritikan kerana ramai yang mengharapkan beliau untuk mencari jalan keluar daripada ancaman krisis politik, ekonomi dan kesihatan.

Penganalisis Universiti Malaya Prof Dr Awang Azman Awang Pawi berkata saiz ahli Kabinet penting kerana rakyat mahukan yang kecil, inklusif dan mempunyai wakil daripada beberapa parti.

“Ahli Kabinet yang dilihat kurang berprestasi ataupun kontroversi pada PN perlu digugurkan,” katanya dan menambah ahli Parlimen Bera perlu berani untuk mengambil langkah itu.

“Rakyat tidak mahu Kabinet yang dibentuk ini adalah sekadar untuk akur kepada kehendak tokoh-tokoh dalam parti tertentu,” tambahnya.

Katanya faktor seperti melantik bekas perdana menteri sebagai menteri mentor seperti yang dilihat sekarang dan memberikan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan kepada ahli politik atas dasar terima kasih perlu dielakkan.

Awang Azman berkata berkemungkinan ada muka sama dalam Kabinet baharu kerana naib presiden Umno mungkin tidak akan membuat banyak perubahan dan mungkin bertindak atas dasar berterima kasih dan bagi mengelakkan kontroversi dalam parti.

“Beliau mungkin tidak mahu timbulkan masalah,” katanya.

Menurutnya Ismail Sabri perlu membuat dasar dan strategi sendiri yang akan memberikan impak positif terutamanya selepas pentadbiran sebelum ini gagal dalam menangani pandemik menyebabkan jumlah kes melonjak.

Antara indeks prestasi utama yang mungkin boleh dinilai Ismail Sabri adalah kemampuannya untuk menurunkan jumlah kes Covid-19 bawah 3,000 menjelang akhir tahun ini dan dasar ekonominya seperti menarik pelaburan langsung asing, mengawal pengangguran dan inflasi serta meningkatkan produktiviti.

Felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr Oh Ei Sun menyifatkan Kabinet Ismail Sabri berkemungkinan seperti isi lama dalam botol baharu.

“Ia ahli Kabinet lama yang tidak efisien mungkin akan kembali,” katanya.

Bagaimanapun katanya, berkemungkinan berlaku rombakan dengan beberapa ahli diberikan portfolio kementerian berbeza.

“Yang penting ia tidak akan jadi yang baharu,” tambahnya.

Semua ahli Parlimen telah menghantar surat perakuan bersumpah bagi menyatakan calon perdana menteri pilihan mereka kepada Istana Negara semalam.

Bagaimanapun, Ismail Sabri yang juga ahli Parlimen BN dipercayai mempunyai sokongan 115 ahli Parlimen dengan 42 ahli Parlimen BN. Ini menjadikan ia lebih 111 sokongan yang diperlukan untuk berkuasa. – 19 Ogos, 2021.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen