CALON perdana menteri dari Umno tidak boleh mengikat dirinya dalam apa jua bentuk perjanjian untuk kekalkan struktur kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini, kata ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Parti itu telah sepakat menamakan bekas timbalan perdana menteri dan naib presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri.
“Dalam Mesyuarat MKT (Majlis Kerja Tertinggi) malam tadi, saya menegaskan bahawa siapapun yang dinamakan sebagai calon perdana menteri daripada BN/Umno, tidak boleh mengikat dirinya dengan apa jua bentuk perjanjian untuk mengekalkan struktur kabinet kerajaan PN yang lalu,” kata Asyraf dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, calon perlu menurut perintah Yang di-Pertuan Agong dan membentuk kabinet yang bersatu dan bersepakat selesaikan masalah sebelum pilihan raya umum akan datang.
Ini termasuk mengendali pandemik Covid-19, mengurus kesejahteraan rakyat dan memacu agenda pemulihan negara.
Asyraf mendedahkan Yang di-Pertuan Agong bertitah mahukan sokongan perdana menteri baharu diuji dengan undi percaya di Parlimen secepat mungkin.
“Sebagaimana yang dimaklumkan oleh Presiden Umno (Ahmad Zahid Hamidi) yang berkongsi intipati Titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong berkali-kali menegaskan dalam sesi mengadap ketua-ketua parti semalam: ‘Yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua’,” katanya.
Tambahnya kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong bertitah supaya undi percaya diusulkan terhadap perdana menteri baharu bagi membuktikan kesahihan pelantikannya itu.
Ismail mendapat sokongan kuat PN, yang terdiri daripada 50 ahli Parlimen Bersatu, PAS dan STAR; Gabungan Parti Sarawak (18); Umno yang diketuai Ismail sendiri (23); MCA (dua); MIC (satu); PBS (satu); PBRS (satu); dan empat bebas.
Bagi Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim, beliau mempunyai kepercayaan DAP (42), PKR (35), Amanah (11), Parti Sarawak Bersatu (2), Upko (1) dan seorang bebas.
Sementara itu, Presiden Parti Warisan Sabah Mohd Shafie Apdal mengesahkan Yang di-Pertuan Agong telah memutuskan sesiapa sahaja yang terpilih sebagai perdana menteri baharu melalui surat akuan ahli Parlimen perlu dibuktikan kesahihannya di Parlimen.
Shafie berkata Seri Paduka Baginda bertitah demikian dalam sesi mengadap ketua dan wakil parti politik di Istana Negara semalam.
Ahli Parlimen Semporna itu berkata surat akuan itu dibuat bagi ahli Parlimen memilih calon perdana menteri yang mereka mahukan.
“Setelah ada calon yang dilantik sebagai perdana menteri, telah dititahkan agar perkara ini tidak hanya diputuskan melalui keputusan itu, tetapi juga perlu dibawa ke Parlimen untuk pengesahan, kita mahukan kestabilan,” kata Shafie dalam wawancara bersama Astro Awani malam tadi. – 18 Ogos, 2021.
Komen