DALAM perutusan khas secara langsung sebulan selepas jadi perdana menteri, Muhyiddin Yassin memberi jaminan kepada rakyat bahawa Perikatan Nasional (PN) mengambil berat kebajikan rakyat walaupun ia mungkin bukan kerajaan yang dipilih.
Muhyiddin berkata demikian ketika mengumumkan pakej rangsangan ekonomi Prihatin bagi mengurangkan kesan pandemik Covid-19, pada 27 Mac tahun lalu.
Malah, kejayaan PN menangani gelombang kedua jangkitan mula mendapat keyakinan rakyat.
Tinjauan Merdeka Center juga menunjukkan 69% pengundi berpuas hati dan gembira dengan prestasi beliau mentadbir negara.
Muhyiddin juga cuba menggambarkan diri sebagai “abah” yang akan “merotan” rakyat yang tidak patuh SOP Covid-19.
Namun, selepas 17 bulan dan 15 hari sebagai perdana menteri, Muhyiddin, 74, meletak jawatan hari ini susulan hilang sokongan majoriti ahli Parlimen.
Muhyiddin akan dikenang atas perkara-perkara berikut:
Usaha mengekalkan jawatan di tengah-tengah pandemik Covid-19
Ini termasuk melantik ahli-ahli politik Umno dan PAS dalam syarikat berkaitan kerajaan bagi memastikan kerajaan PN utuh.
Tidak konsisten
Kebanyakan keputusan kerajaan berkenaan prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha membendung pandemik tidak jelas serta tiada penyelarasan.
Menggantung Parlimen
Muhyiddin menjadikan pandemik Covid-19 sebagai alasan untuk menggantung sidang Parlimen ketika semua dasar dan dana bagi membendung jangkitan perlu dibentang dan dibahas oleh wakil rakyat.
Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 yang dijadual berlangsung selama 15 hari pada Mei tahun lalu disingkatkan kepada sehari pada 18 Mei 2020, hanya untuk mendengar titah diraja Yang di-Pertuan Agong.
Mengelak media
Muhyiddin tidak pernah mengadakan sidang media terbuka sejak jadi perdana menteri, sebaliknya hanya bual bicara dengan media terpilih, atau membaca perutusan khas di televisyen.
Satu-satunya “sidang media” beliau adalah pada 13 Oktober tahun lalu, itupun hanya terhad hanya kepada media tertentu.
Pilih bulu
Muhyiddin berjanji undang-undang tidak mengenal pangkat dan darjat. Namun, kes Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali melanggar perintah kuarantin wajib selepas kembali dari Turki pada Julai tahun lalu dan hanya dikompaun RM1,000 mencetus kritikan banyak pihak.
Pejabat Peguam Negara kemudian memutuskan tiada tindakan akan diambil terhadap Khairuddin, atas alasan menteri itu tidak diserahkan Borang 14b di bawah Seksyen 15 (1) Akta 342 bagi tujuan menjalani perintah kuarantin.

Pakej rangsangan tidak menyeluruh
Walaupun kerajaan umum sebanyak RM530 bilion dibelanjakan bagi melaksanakan lapan pakej rangsangan ekonomi sejak negara dilanda pandemik Covid-19, ia masih tidak berjaya membantu rakyat dan perniagaan yang terjejas.
Tidak seperti negara lain seperti Singapura, bantuan yang diberi lebih menyeluruh dan komprehensif. Majikan di negara itu misalnya, diberi subsidi upah sebanyak 75% oleh kerajaan.
Pergolakan politik
Muhyiddin mentadbir kerajaan PN selepas kerajaan Pakatan Harapan runtuh pada Februari 2020. Dengan majoriti hanya dua ahli Parlimen, Muhyiddin berusaha keras memastikan PN stabil dan didominasi partinya Bersatu.
Kerajaan PH di Johor, Melaka dan Kedah tumbang dengan bantuan dua orang kepercayaannya dari Bersatu, Mohamed Azmin Ali dan Hamzah Zainudin.
Mereka bertiga juga cuba menggoyahkan kerajaan Sabah di bawah pimpinan Warisan pada Julai tahun lalu, menyokong bekas ketua menteri Sabah Musa Aman yang mendakwa mempunyai cukup majoriti untuk bentuk kerajaan baru di negeri itu.
Shafie kemudian umum DUN Sabah bubar berkuatkuasa 29 Julai, dan pilihan raya negeri diadakan pada 26 September 2020.
Gabungan PN, Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah yang kemudian dikenali sebagai Gabungan Rakyat Sabah berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 38 kerusi.
Ketua Bersatu Sabah yang juga Adun Sulaman Hajiji Mohd Noor mengangkat sumpah sebagai ketua menteri baharu pada 28 September tahun lalu.
PRN Sabah mencetus gelombang baharu jangkitan Covid-19, sehingga mencetus kemarahan rakyat yang menyalahkan kerajaan Muhyiddin kerana mengamalkan double standard dalam soal kuarantin wajib bagi mereka yang pulang dari negeri itu selepas pilihan raya tamat.

Penguasaan Bersatu dalam kerajaan meskipun ia cuma parti kecil juga semakin tidak disenangi Umno, dan secara diam membuat rundingan dengan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.
Seminggu selepas PRN Sabah, Anwar mendakwa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat. Sepucuk surat didakwa ditandatangani Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kepada Istana Negara, yang menyokong Anwar sebagai perdana menteri kemudian bocor.
Juga pada akhir September tahun sama, veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin kepada speaker Dewan Rakyat.
Pengkritik dakwa Muhyiddin cadang darurat untuk mengekalkan jawatan
Pada 23 Oktober tahun lalu, mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Muhyiddin setuju untuk melaksanakan darurat bagi mengekang penularan Covid-19.
Pada hari yang sama, beliau bersama beberapa menteri Kabinet dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menghadap Yang di-Pertuan Agong, memohon perkenan baginda untuk mengisytihar darurat.
Selepas mesyuarat dengan Raj-Raja Melayu, Yang di-Pertuan Agong dalam satu kenyataan menolak cadangan Kabinet kerana tiada keperluan untuk melaksanakan darurat ketika itu.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akhirnya pada 12 Januari lalu memperkenan pelaksanaan darurat berkuatkuasa sehingga 1 Ogos, ketika jangkitan harian Covid-19 melonjak.
Sidang Parlimen dan DUN ditangguhkan dan pada 1 Jun, Muhyidddin umum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berikutan kes harian mencecah 9,000.
Keputusan kerajaan menggantung Parlimen dibantah pembangkang dan pemimpin-pemimpin Umno, yang berpandangan Parlimen perlu bersidang supaya masalah membabitkan rakyat akibat Covid-19 boleh dibincang oleh wakil rakyat.
Pada 16 Jun, Agong bertitah Parlimen perlu bersidang segera bagi membolehkan Ordinan Darurat dan pelan pemulihan dapat dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.
Pada 5 Julai, kerajaan umum sidang khas Parlimen akan diadakan selama lima hari mulai 26 Julai hingga 2 Ogos. Parlimen kali terakhir bersidang pada Disember tahun lalu.

Pada hari pertama sidang khas itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan memberitahu Dewan Rakyat bahawa Ordinan Darurat telah batal pada 21 Julai.
Pada 29 Julai, Istana Negara mengeluarkan kenyataan, bahawa Yang di-Pertuan Agong belum memberi perkenan untuk membatalkan semua Ordinan Darurat.
Al-Sultan Abdullah juga dukacita kerana kerajaan membatalkan ordinan berkenaan tanpa mengikut proses yang ditetapkan, menurut kenyataan istana.
Kenyataan yang dikeluarkan ketika Dewan Rakyat sedang bersidang itu mencetus kekecohan, dan pembangkang menuntut Muhyiddin letak jawatan.
Persidangan ditangguhkan selepas Istana Negara keluarkan kenyataan tersebut. Timbalan Speaker Rashid Hasnon berkata semua ahli Parlimen yang hadir persidangan diwajibkan menjalani ujian Covid-19 selepas dua kes baharu dikenalpasti di bangunan Parlimen.
Minggu lalu, Umno mengesahkan 14 ahli Parlimen parti itu menarik balik sokongan kepada kerajaan PN.
Tiga hari lalu, Muhyiddin umum tujuh tawaran untuk meraih sokongan pembangkang bagi membolehkan kerajaan PN kekal berfungsi. Beliau menjemput pembangkang membincangkan cadangan berkenaan minggu depan dan berjanji akan mengadakan sidang khas bagi undi percaya ke atasnya jika ia dipersetujui.
Pembangkang bagaimanapun menolak tawaran penubuhan kerajaan bipartisan. Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Redzuan Md Yusof mengesahkan kepada wartawan Muhyiddin akan letak jawatan hari ini selepas segala usaha meraih sokongan untuk mengekalkan majoriti di Dewan Rakyat gagal. – 16 Ogos, 2021.
Komen