Abah akan mula guna rotan, kata Muhyiddin


Muhyiddin Yassin beri jaminan penguatkuasaan perintah kerajaan bagi membendung penularan pandemik Covid-19 dijalankan tanpa mengira bulu, ketika ada kritikan bahawa arahan itu dijalankan tidak saksama. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 6 Oktober, 2020.

MUHYIDDIN Yassin memberi jaminan penguatkuasaan perintah kerajaan bagi membendung penularan pandemik Covid-19 dijalankan tanpa mengira bulu, ketika ada kritikan bahawa arahan itu dijalankan tidak saksama.

Perdana Menteri juga membayangkan pasukan keselamatan akan dikerah semula ke tempat awam untuk menjaga keadaan, ketika jumlah mereka yang dijangkiti Covid-19 meningkat lebih 1,300 kes hanya dalam masa enam hari pertama dalam Oktober.

“Petugas barisan hadapan dari agensi-agensi penguatkuasaan akan dikerah semula ke tempat-tempat awam untuk memastikan pematuhan,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan di televisyen petang ini.

Menurut Muhyiddin, semua pihak perlu mematuhi prosedur operasi standard dan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan.

“Jika ada yang melanggar undang-undang, hukuman kompaun dan lain-lain akan  dikenakan tanpa mengira pangkat dan darjat.

“Maaflah jika Abah ini mula menggunakan rotan,” katanya, merujuk kepada gelaran yang diberi kepadanya sejak jadi perdana menteri pada 1 Mac lalu.

Muhyiddin menyampai perutusan dari rumah ketika beliau menjalani kuarantin kendiri selepas mempengerusikan mesyuarat yang dihadiri oleh menteri agama Dr Zulkifli Mohamad yang semalam disahkan dijangkiti Covid-19. 

Seorang menteri dalam kabinet Muhyiddin semalam disahkan positif Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad disahkan dijangkiti pandemik selepas pulang dari Sabah, ketika banyak kes jangkitan sejak seminggu lalu dikesan dari negeri itu.

Zulkifli bagaimanapun dikritik kerana tidak menjalani kuarantin kendiri sebelum ini sebaliknya menghadiri program di lima negeri, termasuk di tiga buah masjid atau surau dan tiga universiti.

Beliau juga dilihat tidak mematuhi SOP antaranya memakai pelitup muka dan menjaga jarak dengan orang lain.

Seorang lagi menteri dalam kabinetnya sebelum ini didakwa tidak menjalani kuarantin wajib selepas balik dari luar negara.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali pulang dari Turki pada 7 Julai tetapi hadir di Dewan Rakyat yang bersidang pada 13 Julai dan ikut terlibat dalam mesyuarat serta beberapa majlis lain dalam tempoh kuarantin 14 hari.

Beliau disiasat polis namun sehingga hari ini – 91 hari selepas pulang dari Turki – masih belum ada tindakan diambil terhadapnya, kecuali kompaun yang dikenakan oleh Kementerian Kesihatan.

Muhyiddin dalam perutusannya hari ini meminta rakyat tidak menuding jari mencari salah mana-mana pihak.

Katanya, ini bukan masanya untuk mempolitikkan masalah yang sedang dihadapi oleh negara, dan meminta rakyat tidak mempedulikan mereka yang “menangguk di air keruh”.

“Kita mesti fokus kepada usaha untuk menangani pandemik ini secara bersama,” katanya.

Menurut Muhyiddin, beliau memberi perhatian dan mengalu-alukan pandangan umum mengenai isu-isu berkaitan pengurusan Covid-19.

Katnya, mana-mana pandangan yang baik akan diangkat untuk dibincangkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

“Kerajaan sentiasa mendengar dan memperbaiki serta menerima teguran dalam menangani wabak Covid-19,” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengumumkan 691 kes baharu Covid-19 dikesan di seluruh Malaysia, dengan kes paling banyak di Sabah (219) dan Kedah (397).

Setakat tengah hari semalam, keseluruhan 2,936 kes masih aktif atau bersamaan 21.74% daripada 13,504 kes yang dikesan. Daripada jumlah itu, 31 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi dan lapan kes memerlukan alat bantuan pernafasan. – 6 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen