DAP menyelar tindakan terbaru Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming dari DAP menyifatkannya sebagai “sembarangan dan angkuh”.
“Ini adalah tindakan untuk menakut-nakutkan pemimpin DAP. Di manakah kebebasan internet daripada tapisan seperti yang dijanjikan dan dijamin dalam undang-undang di bawah Koridor Raya Multimedia (MSC)?” kata setiausaha agung DAP kepada wartawan di Pulau Pinang hari ini.
Badan kawal selia internet itu menyerbu rumah Nga di Ipoh semalam, pejabat khidmat wakil rakyatnya di Taiping serta rumah ibu bapanya di Ayer Tawau juga diserbu berkaitan catatan media sosial yang mengkritik kerajaan. Telefon bimbit ahli Parlimen itu turut dirampas.
Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham juga daripada DAP Perak berkata serbuan itu berkaitan dengan beberapa komen dibuat Nga dalam internet, tetapi SKMM tidak menyatakan catatan manakah yang sedang disiasat.
Lim hari ini juga mengecam tindakan menyerbu rumah ibu bapa Nga.
“Mereka malah pergi ke rumah ibu bapanya. Adakah itu perlu?”
Menggelarkan SKMM sebagai “senjata politik BN”, Lim berkata agensi kawal selia itu “tidak bebas dan hanya berkhidmat memenuhi hasrat tuan politiknya.”
Beliau juga mengimbau kembali kejadian melibatkan anak lelakinya yang diserang “cybertroopers” Barisan Nasional tujuh tahun lalu yang mendakwa anaknya itu- yang masih remaja ketika itu- telah mencabul seorang rakan sekelasnya.
“Ia satu penipuan. Ia tak pernah berlaku. Mereka muat naik gambar seorang pemain catur antarabangsa, kata dia adalah mangsa, sedangkan gadis itu tak pernah datang ke Pulau Pinang atau bertemu anak lelaki saya.
“Bayangkan trauma yang dihadapi anak saya ketika itu. Dia malah takut hendak ke sekolah. Awak boleh bayangkan mengapa saya sangat marah dengan media BN kerana penipuan yang mereka keluarkan. Ia menyakiti orang.”
Katanya tiada sebarang dakwaan dibuat terhadap mereka yang memfitnah anak lelakinya itu yang kini berusia 22 tahun. – 19 Januari, 2018.
Komen