Muhyiddin tiada kuasa, Perikatan boleh dicabar di mahkamah, kata Najib


Najib Razak mendakwa sebarang keputusan Perikatan Nasional kini boleh dicabar di mahkamah kerana Muhyiddin Yassin sudah tiada kuasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2021.

BERMULA hari ini sebarang keputusan dibuat kerajaan Perikatan Nasional boleh dicabar di mahkamah kerana Muhyiddin Yassin bukan lagi perdana menteri, dakwa Najib Razak.

Bekas perdana menteri itu berkata situasi ini wujud kerana ahli Parlimen Pagoh itu sudah hilang keabsahan selepas hilang sokongan majoriti ahli Parlimen.

“Surat rasmi dari Speaker Dewan Rakyat kepada istana pada 10 Ogos ini adalah bukti rasmi bahawa Muhyiddin sudah hilang majoriti dan sedang langgar Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan.

“Surat ini dah tular dan Pemuda Umno sudahpun membuat laporan polis dua hari lalu tapi Speaker Dewan Rakyat masih membisu dan tak menafi.

“Sekiranya surat ini sah (dan saya difahamkan ianya 100% original) maka sebarang keputusan kerajaan hari ini boleh dicabar dalam mahkamah sebab PM8 sudah hilang keabsahan dan kuasa mengikut perlembagaan,” tulis ahli Parlimen Pekan itu di akaun Facebooknya.

Dalam surat dilihat The Malaysian Insight, Azhar pada 9 Ogos lalu mengesahkan kepada istana yang lima orang wakil rakyat Umno sudah menarik balik sokongan mereka kepada Muhyiddin.

Bagaimanapun, beliau menyatakan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Azalina Othman Said (Pengerang), Noh Omar (Tanjung Karang) dan Mohamad Alamin (Kimanis) masih menyokong PN.

Azhar turut memaklumkan Yang Di Pertuan Agong yang dua menteri Umno- Shamsul Anuar Nasarah (menteri tenaga dan sumber asli) dan Noraini Ahmad (menteri pengajian tinggi) sudah meletak jawatan.

Jelasnya lagi, hanya 100 orang ahli Parlimen masih menyokong Muhyiddin berbanding 106 orang pada 3 Ogos lalu.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan tawaran kepada pembangkang untuk mendapatkan sokongan bipartisan bagi membolehkannya kekal berkuasa dan mengemudi negara keluar daripada pandemik Covid-19.

Katanya lagi, beliau tidak akan meletak jawatan tetapi Kabinetnya bersetuju untuk mengadakan rundingan dengan pemimpin parti “di luar Perikatan Nasional” menjelang pembentangan usul  menguji sokongan diterima Muhyiddin di Parlimen, bulan depan.

Tambahnya, beliau memilih untuk tidak meletak jawatan kerana tiada ahli Parlimen lain boleh membuktikan mereka mempunyai sokongan majoriti. – 14 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen