PENGUMUMAN khas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin penuh dengan hipokrasi dan helah yang dibuat untuk kekal berkuasa, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Bekas menteri belia dan sukan berkata Muhyiddin kini terdesak hingga membuat pelbagai tawaran hari ini kerana menyedari beliau akan hilang kuasa.
“Apabila kuasa dan jawatan sudah di hujung tanduk, baru nak cari pembangkang duduk semeja,” kata Syed Saddiq.
“Semua (cadangan) dibuat hanya untuk tinggal sehari lebih lama dari hak yang sudah terlucut dengan kehilangan sokongan majoriti Dewan Rakyat.
“Waktu nak hilang kuasa, barulah terfikir nak beri peruntukan tahunan yang sama kepada Ahli Parlimen Pembangkang. Hampir 2 tahun pembangkang tidak terima peruntukan sama dari kerajaan PN.
Syed Saddiq menyatakan pembangkang sebelum ini pernah merayu kepada perdana menteri untuk peruntukan sama rata bagi membantu rakyat mmerlukan, namun tiada apa yang diberikan.
“Sampai sanggup tawar macam-macam hanya untuk kekalkan kuasa yang sudah terlucut hilang,” katanya di Facebook hari ini.
Dalam siaran langsung hari ini, Muhyiddin menggariskan beberapa tawaran kepada ahli Parlimen pembangkang untuk sokongan bipartisan bagi kekal berkuasa dan membawa negara keluar dari pandemik Covid-19.
Beliau menjanjikan beberapa pembaharuan sekiranya menang undi percaya di Parlimen bulan depan.
Ini termasuk peruntukan sama rata kepada semua ahli Parlimen untuk kawasan mereka, mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri, melaksanakan Undi 18 dan semak dan imbang dalam jawatankuasa Parlimen.
Syed Saddiq bagaimanapun mempersoalkan mengapa baru kini Muhyiddin bersetuju untuk pembaharuan ini sedangkan ia pernah dicadangkan pembangkang sebelum ini.
“Dari tahun lepas saya minta kerajaan PN dengar suara dan cadangan pembangkang. Tak pernah nak dengar.
“Tiba-tiba hari ini minta buat sokongan bipartisan. Kononnya ada cadangan rangka persefahaman rentas parti.
“Tiba-tiba hari ini Perdana Menteri mahu ‘tampil’ demokratik. Kalau demokratik, luluskan sahaja Muda. Benarkan demokrasi tumbuh subur dengan parti politik orang Muda,” tambah ahli Parlimen Muar itu.
Syed Saddiq turut membidas janji Muhyiddin untuk melaksanakan akta anti-lompat parti dan pembaharuan Parlimen sekiranya menang undi percaya.
Beliau turut menegaskan bagaimana kerajaan PN ditubuhkan oleh orang yang lompat parti.
“Kerajaan PN yang dibentuk dari orang yang lompat parti tiba-tiba nak bentang undang-undang lompat parti. Pelik bin ajaib.
“Lupakah Perdana Menteri dulu yang mengajak saya untuk tinggalkan Pakatan Harapan. Itu bukan ajakan untuk lompat keluar dari PH?
“Kononnya kerajaan PN mahu buat reformasi Parlimen. Lupakah perdana menteri sepasukan FRU yang dihantar untuk halang ahli Parlimen Pembangkang dari masuk sidang Dewan Rakyat?” kata Syed Saddiq merujuk kepada protes ahli Parlimen di luar Parlimen pada 2 Ogos lalu.
Beliau turut menggesa Muhyiddin untuk hentikan buang masa dan berundur secara terhormat. – 13 Ogos, 2021.
Komen