Adakah Muhyiddin rasuah pembangkang untuk dapat sokongan, soal Mukhriz 


Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir membidas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang dilihat cuba meraih sokongan pembangkang dalam undi percaya di Parlimen.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Ogos, 2021.

PRESIDEN Pejuang Mukhriz Mahathir menuduh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin merasuah pembangkang untuk mendapatkan sokongan mereka bagi usul undi percaya di Parlimen bulan depan.

“Adakah saya mendengar dia menawarkan kita rasuah untuk menyokongnya & kerajaan minoritinya?” kata Mukhriz menerusi Twitter mengulas kenyataan Muhyiddin yang disiarkan secara langsung yang mana beliau merayu sokongan bipartisan dalam undi percaya selepas hilang sokongan majoriti.

“Adakah beliau tawar untuk kekal sebagai PM dan kekal sebagai PM apabila PRU15 pada Julai 2022? Adakah kami ini bodoh?” tambah Mukhriz.

Muhyiddin menjanjikan pembangkang beberapa perubahan sebagai pertukaran untuk sokongan dan berkata negara tidak boleh tanpa kerajaan untuk menangani pandemik Covid-19.

Presiden Bersatu juga berkata kerajaan perlu dikekalkan untuk memastikan pemimpin yang terlibat dengan kes mahkamah tidak kembali berkuasa.

Mukhriz berkata Muhyiddin hipokrit kerana menyatakan beliau menolak kleptokrasi.

“Ketika beliau mendakwa menolak kleptokrasi, beliau menawarkan wang kepada pemimpin pembangkang sebagai pertukaran untuk sokongan. Jika ini bukan hipokrit, saya tidak tahu apa,” kata bekas menteri besar Kedah menerusi Twitter.

Wang yang dimaksudkan oleh Mukhriz ialah janji Muhyiddin untuk memberikan peruntukan sama rata kepada semua kawasan Parlimen tanpa mengira parti.

Mukhriz juga berkata adalah salah untuk Muhyiddin mengatakan beliau tidak boleh meletakkan jawatan sehingga ada ahli Parlimen yang mempunyai sokongan majoriti.

“Dalam perlembagaan persekutuan mana yang menyebut perkara ini?

“Perkara 43(4) menyatakan PM yang tidak mempunyai keyakinan majoriti ahli Parlimen perlu meletakkan jawatan Kabinet,” katanya.

Muhyiddin menyatakan salah satu sebab beliau tidak meletakkan jawatan ialah kerana tiada ahli Parlimen yang mampu buktikan memiliki sokongan majoriti bagi membolehkan Yang di-Pertuan Agong melantik perdana menteri baharu. – 13 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen