KERAJAAN mengkaji usaha mewajibkan suntikan vaksin Covid-19 kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menangani penolakan dari kumpulan antivaksin, kata Muhyiddin Yassin.
Perdana menteri berkata perincian berkenaan usaha tersebut akan diputuskan kerajaan selewat-lewatnya bulan depan.
“Kita akan mengkaji terlebih dahulu jika kumpulan antivaksin ini tidak mahu menerima vaksin kerana berpenyakit atau sengaja tidak percaya dengan vaksin.
“Dengan pelbagai varian seperti Delta, penerima vaksin juga boleh dijangkiti disebabkan mereka (antivaksin) yang kemudian memberi masalah kepada negara,” katanya.
Katanya, pemberian vaksin mandatori menyebabkan individu yang enggan menerima suntikan dos vaksin Covid-19 boleh dikenakan hukuman mengikut undang-undang sedia ada.
Muhyiddin berkata demikian selepas melawat pusat pemberian vaksin integrasi Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu hari ini.
Perdana menteri pada Ahad lalu mengumumkan kelonggaran untuk individu yang menerima vaksin lengkap mengikut peringkat negeri dalam Pelan Pemulihan Negara
Kelonggaran tersebut hanya dinikmati individu yang dapat menunjukkan bukti vaksin lengkap melalui sijil digital dalam aplikasi MySejahtera.
Dalam program lawatannya di Terengganu hari ini, Muhyiddin seterusnya bertemu Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Marang.
Muhyiddin berkata kunjungan itu hanya untuk menziarahi Hadi yang uzur dan menafikan ia berkait dengan isu sokongan majoriti ke atasnya sebagai perdana menteri. – 12 Ogos, 2021.
Komen