MUHYIDDIN Yassin menafikan pertemuannya dengan ketua parti Perikatan Nasional semalam dan juga dengan presiden PAS hari ini berkaitan isu keabsahannya sebagai perdana menteri.
Beliau enggan dikaitkan dengan isu tersebut ketika ditanya pemberita hari ini sewaktu tiba di Terengganu sejurus sebelum pertemuannya dengan Abdul Hadi Awang.
“Pertemuan semalam pertemuan biasanya… Pasal lama tak jumpa, pasal dah rindu, katanya ketika disoal pemberita di Kuala Terengganu.
Muhyiddin juga enggan menjawab desakan agar beliau meletakkan jawatan dan juga tarikh sebenar bagi Parlimen mengadakan undi percaya bagi menguji keabsahannya sebagai perdana menteri.
Ditanya mengenai pertemuannya dengan presiden PAS, Muhyiddin sekadar berkata beliau mengambil kesempatan dalam kunjungan hari ini untuk menziarahi Hadi yang keuzuran.
“Saya nak ziarah kita tahu tok guru tak berapa sihat. Tapi saya diberitahu menteri besar beliau dah sihat. Sebab dah lama tak jumpa, kali terakhir masa di hospital.
“Dah balik sini mudah-mudahan dia dapat menjalankan tugas kembali untuk parti dan negara,” kata Muhyiddin ketika ditemui pemberita di Pusat Pemberian Vaksin Taman Tamadun Islam.
Ia bagi menziarahi Hadi yang menjalani rawatan beberapa kali di Institut Jantung Negara (IJN) pada tahun ini.
Pada 15 Februari, beliau menjalani rawatan selepas keletihan dan mengalami sesak nafas dan pada 28 April, beliau menjalani satu lagi rawatan susulan di IJN untuk beberapa hari.
Seterusnya pada Jun, Hadi kembali ke hospital sama untuk satu lagi rawatan susulan.
Putrajaya hari ini mengumumkan usul undi percaya terhadap Muhyiddin akan diadakan pada 7 September.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun sudah mengirim notis kepada semua ahli Parlimen mengenai perkara tersebut.
Sumber ahli Parlimen PN semalam bagaimanapun menyatakan ia mungkin diadakan lebih awal.
Pertemuan dengan para pemimpin parti PN petang semalam berlangsung sewaktu Muhyiddin tertekan kerana dipercayai hanya menguasai sokongan 100 dari kesemua 220 ahli Dewan Rakyat.
Kemerosotan itu ekoran tindakan 15 ahli Parlimen Umno yang mengumumkan menarik sokongan ke atas Muhyiddin dan kerajaan PN.
Terdahulu Muhyiddin yang juga Adun Gambir menghadiri sidang DUN Johor yang dirasmikan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Beliau kemudian dilaporkan menghadap baginda dan mempersembahkan makluman mengenai perkembangan politik. – 12 Ogos, 2021.
Komen