MUHYIDDIN Yassin dijangka bertemu Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Terengganu hari ini, sehari selepas mengadakan perbincangan dengan para ketua parti Perikatan Nasional (PN).
Pertemuan di Marang itu dijadualkan dalam lawatan Muhyiddin ke negeri itu hari ini selepas beliau melawat Pusat Pemberian Vaksin di Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu.
Sekurang-kurangnya tiga sumber mengesahkan kepada The Malaysian Insight, perdana menteri akan menziarahi Hadi yang kini berehat selepas menjalani rawatan jantung.
“Jangkaan perdana menteri akan menziarahi kediaman Hadi sekitar jam 5 dan pertemuan mungkin akan berlangsung selama 40 minit,” kata salah satu sumber itu.
Seorang lagi sumber turut mengesahkan lawatan Muhyiddin itu ke rumah presiden PAS dan dibuat secara tertutup dan bukan lawatan rasmi.
“Kita juga kurang pasti apa butiran pertemuan yang akan diadakan hari ini,” katanya.
Terdahulu Muhyiddin yang juga Adun Gambir menghadiri sidang DUN Johor yang dirasmikan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Pertemuan dengan para pemimpin parti PN petang semalam berlangsung sewaktu Muhyiddin tertekan kerana dipercayai hanya menguasai sokongan 100 dari kesemua 220 ahli Dewan Rakyat.
Kemerosotan itu ekoran tindakan 15 ahli Parlimen Umno yang mengumumkan menarik sokongan ke atas Muhyiddin dan kerajaan PN.
Para ahli Parlimen Umno tersebut, termasuk presidennya Ahmad Zahid Hamidi bertindak demikian susulan pengumuman Muhyiddin untuk mengadakan undi percaya di Parlimen pada September.
Ekoran tindakan Umno itu, undi percaya terhadap Muhyiddin sebagai perdana menteri dijangka akan diadakan lebih awal, seawal minggu depan, menurut sumber dari kalangan ahli Parlimen PN.
Hadi semalam menganjurkan agar tiga parti Melayu – Bersatu, PAS, dan Umno – perlu bersama dalam kerajaan demi perpaduan kaum dan agama.
Beliau menegaskan, usaha tersebut perlu dilakukan melalui Muafakat Nasional (MN), gabungan yang dibentuk terlebih dahulu dengan Umno pada 2019.
Tema perpaduan Melayu menjadi isu utama sewaktu piagam kerjasama tersebut mula digerakkan PAS dan Umno pada tahun itu.
Para pemimpin Pemimpin Umno di Kelantan dan Terengganu kini bagaimanapun yakin kerjasama MN sudahpun berkubur di negeri terbabit. – 12 Ogos, 2021.
Komen
Umno parti tunjang dlm MN, pasangannya PAS. Setelah MN membentuk kerajaan bersama PPBM, PPBM pula memikat PAS dgn gabungan PN. PAS tanpa segan silu menyambut mesra pikatan PPBM, walhal PAS sudah merupakan pasangan UMNO dalam MN! Pertimbangkanlah perlakuan PAS dan PPBM! Siapakah pengkhianat nomor 1?
Dimuat naik 4 tahun yang lalu oleh RUDY HARTONO · Ulasan