KEMENTERIAN Perpaduan Negara (KPN) menyelaras prosedur operasi standard (SOP) bagi pembukaan rumah ibadat selain Islam dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk penerima vaksin Covid-19 lengkap.
KPN menerusi kenyataan memaklumkan bagi negeri di Fasa 1 dan 2 PPN, kehadiran penganut yang lengkap vaksinasi bagi tujuan aktiviti keagamaan atau sembahyang adalah terhad kepada 50 orang pada satu-satu masa dengan waktu beroperasi dibenarkan dari 6 pagi hingga 2 petang dan dari 4 petang hingga 10 malam.
Bagi negeri di Fasa 3 PPN, had kehadiran penganut yang telah lengkap vaksinasi bagi aktiviti keagamaan atau sembahyang pula tertakluk kepada saiz ruang sembahyang rumah ibadat, manakala waktu beroperasi dibenarkan adalah dari 6 pagi hingga 2 petang dan dari 4 petang hingga 10 malam.
Menurut kenyataan itu, penerima vaksin lengkap merujuk kepada penganut yang telah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac dan penganut berkenaan mesti telah melepasi 14 hari dari tarikh suntikan dos kedua.
Bagi jenis vaksin Covid-19 yang hanya memerlukan satu dos suntikan iaitu Johnson & Johnson dan CanSino, penganut berkenaan mesti telah melepasi 28 hari dari tarikh suntikan.
Negeri di Fasa 1 PPN ialah Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur, Selangor dan Kedah.
Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang, Pulau Pinang dan Sabah berada di Fasa 2 PPN manakala Perlis, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak berada di Fasa 3. – Bernama, 12 Ogos, 2021.
Komen