PUTRAJAYA tidak sepatutnya mendiskriminasi warga asing yang mahu mengamalkan kepercayaan mereka di rumah ibadat, tetapi sebaliknya cari penyelesaian tentang bagaimana masalah ini dapat diselesaikan, kata kumpulan agama.
Majlis Perundingan Malaysia Buddhisme, Kristian, Hindu, Sikh, dan Taoisme (MCCBCHST) berkata warga asing yang berada di negara ini secara sah, ada dokumen yang diperlukan dan diuji negatif virus Covid-19 sepatutnya dibenarkan ke rumah ibadat.
Naib presiden majlis itu S. Mohan berkata kumpulan itu bagaimanapun menghormati keputusan kerajaan dan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi membuka semula rumah ibadat, dalam jumlah kecil.
Putrajaya bulan lalu mengumumkan 174 rumah ibadat di seluruh negara akan dibenarkan dibuka semula bermula hari ini. Ia terdiri daripada 84 kuil Hindu, 15 kuil Cina, 67 gereja dan lapan gurdwara.
Bagaimanapun, kerajaan juga mengenakan sekatan yang hanya rakyat Malaysia dibenarkan masuk, dan jemaah terhad kepada 30 orang bergantung kepada saiz rumah ibadat berkenaan.
“Kami percaya ada sedikit diskriminasi di sini kerana jika warga asing ada dokumen dan sudah diuji negatif virus itu, mereka sepatutya dibenarkan masuk untuk beribadat,” kata Mohan kepada The Malaysian Insight.
Mohan berkata warga asing juga ada kepercayaan masing-masing dan tidak dapat ke tempat ibadat sejak tiga bulan lalu.
“Kami hormat pandangan kerajaan dalam menjaga kepentingan rakyat.
“Kami faham jumlah kes yang tinggi dalam kalangan warga asing, dan kerajaan tidak mahu wujud lagi kluster lain.”
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata 78% daripada kes jangkitan Covid-19 sejak 4 Mei membabitkan pekerja warga asing.
Mohan berkata walaupun mereka percaya kerajaan melakukan perkara yang betul, mereka juga mencari penyelesaian yang lebih baik.

Tiada kad pengenalan, tidak boleh masuk
Mohan berkata mengikut SOP, rakyat Malaysia yang tidak menunjukkan kad pengenalan diri tidak akan dibenarkan masuk ke rumah ibadat.
Katanya, itu antara SOP yang dikuatkuasakan oleh kerajaan bagi mengelak warga asing menghadiri upacara keagamaan.
Mohan berkata mereka akan mengikut arahan kerajaan dalam melarang warga asing masuk ke rumah ibadat.
Mereka yang hendak masuk ke rumah ibadat akan menjalani pemeriksaan di pintu masuk. Mereka perlu menunjukkan kad pengenalan tetapi maklumat tidak akan diambil.
“Mereka hanya perlu isi maklumat nama dan nombor telefon, dan kami akan memeriksa suhu badan seperti diarahkan KKM.”
Menurut SOP Kementerian Perpaduan Negara, jawatankuasa pengurusan rumah ibadat perlu memastikan rakyat tempatan menunjukkan kad pengenalan, jika gagal berbuat demikian, mereka tidak dibenarkan masuk.
SOP itu juga memerlukan semua ahli jawatankuasa, ketua agama dan staf menjalani saringan kesihatan sebelum mula bekerja.
Pada Ahad, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan menarik balik perintah kawalan pergerakan bersyarat dan menggantikannya dengan perintah kawalan pergerakan pemulihan berkuatkuasa 10 Jun hingga 31 Ogos.
Katanya, sekatan terhadap perjalanan rentas negeri, sebahagian perhimpunan dan pertemuan agama antara yang akan ditarik balik dalam perintah terbaru itu. – 10 Jun, 2020.
Komen