Ketua-ketua parti kerajaan Perikatan bermesyuarat di Putrajaya


Kenderaan yang dipercayai membawa menteri dilihat memasuki kompleks Perdana Putra di Putrajaya hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 11 Ogos, 2021.

KETUA-KETUA parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) tiba di komplek Perdana Putra di Putrajaya untuk perjumpaan khas yang dipanggil oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Mesyuarat itu ditetapkan pada 5 petang, kata sumber.

Antara pemimpin utama parti komponen kerajaan yang dilihat memasuki bangunan itu ialah Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, yang juga menteri undang-undang. Beliau tiba kira-kira 3.40 petang.

Setiausaha Agung PN Hamzah Zainuddin sampai lebih kurang 4.15 petang diikuti Presiden MCA Wee Ka Siong pada 4.40 petang.

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Openg yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tiba tidak lama kemudian.

Malam tadi, The Malaysian Insight melaporkan kesemua empat presiden parti dalam GPS akan ke Kuala Lumpur untuk mesyuarat ini.

Sehingga ini tidak jelas agenda pertemuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Redzuan Yusoff bagaimanapun memberitahu Sinar Harian, ketua-ketua parti dalam PN dijangka memeterai konsensus mengekalkan sokongan kepada Muhyiddin. 

Media semalam melaporkan pertemuan hari ini untuk membincangkan masa depan PN selepas beberapa ahli parlimen Umno menarik sokongan kepada perdana menteri.

Ahad lepas, Umno mengesahkan 14 ahli Parlimennya sudah menarik balik sokongan mereka. Dua menteri Umno juga meletakkan jawatan daripada kabinet Muhyiddin.

Muhyiddin pada masa ini dipercayai mempunyai 100 sokongan daripada 220 kerusi di Dewan Rakyat, berdasarkan hitungan susulan penarikan sokongan ahli parlimen Umno.

Awal hari ini, sumber dalam PN memberitahu The Malaysian Insight, undi percaya terhadap Muhyiddin sebagai perdana menteri akan diadakan lebih awal, seawal minggu depan, di Dewan Rakyat. – 11 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen