Semua 4 presiden parti GPS ke KL esok, kata Masing


Desmond Davidson

Desas-desus semua ketua parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipanggil untuk satu mesyuarat dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin esok, kata Presiden Parti Rakyat Sarawak James Masing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Ogos 2021.

SEMUA presiden empat parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan ke Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, esok, kata Presiden Parti Rakyat Sarawak James Masing.

Beliau mengesahkan kepada The Malaysian Insight desas-desus semua ketua parti politik yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipanggil untuk satu mesyuarat dengan Muhyiddin esok.

Masing yang juga timbalan pengerusi GPS bagaimanapun enggan mengulas agenda pertemuan.

Pengerusi GPS Abang Johari Openg yang juga ketua menteri Sarawak sementara itu membayangkan sesuatu yang mendesak esok apabila membatalkan kehadirannya di sebuah majlis di Limbang, petang esok.

Pembatalan dimaklumkan oleh pejabatnya kepada media di Kuching, petang tadi. Tiada sebarang alasan diberi berhubung pembatalan itu.

Abang Johari, yang juga ketua menteri Sarawak, dijadual menerima taklimat mengenai program vaksinasi Covid-19 di Limbang iaitu bahagian keempat terbesar daripada 12 bahagian di negeri itu.

Beliau juga dijadual melawat muzium baru di Limbang.

Seorang sumber dalam PN mengesahkan “sesuatu sedang berlaku” tetapi tidak mahu mendedahkan perkembangan itu.

“Keadaan tidak menentu,” katanya, tanpa mengulas lanjut.

Dua lagi presiden parti dalam GPS ialah Dr Sim Hui Kian yang mengetuai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Tiong King Sing dari Parti Demokratik Progresif (PDP). Tiong juga Ahli Parlimen Bintulu, merangkap duta khas perdana menteri ke China.

Muhyiddin dijadual mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua parti PN di pejabatnya di Putrajaya pada 5 petang esok.

Media melaporkan pertemuan berkenaan untuk membincangkan masa depan PN selepas beberapa ahli parlimen Umno menarik sokongan kepada perdana menteri.

Umno kelmarin mengesahkan 14 ahli parlimennya sudah menarik balik sokongan mereka. Dua menteri Umno juga meletakkan jawatan daripada kabinet Muhyiddin.

Muhyiddin pada masa ini dipercayai mempunyai 100 sokongan daripada 220 kerusi di Dewan Rakyat, berdasarkan hitungan susulan penarikan sokongan ahli parlimen Umno. – 10 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen