Timbalan menteri negatif Covid-19 walau jadi kontak rapat pegawai


Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Guandee Kohoi sudah dua kali menjalani ujian RT-PCR, kedua-duanya negatif. Pegawai khasnya meninggal dunia semalam kerana Covid-19. – Gambar Facebook, 10 Ogos, 2021. 

TIMBALAN Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Guandee Kohoi berkata beliau diuji negatif Covid-19 dalam dua ujian swab yang dibuat walaupun menjadi kontak rapat pembantunya, Jaimin Samitah yang meninggal dunia kerana wabak itu semalam.

Senator itu berkata beliau sudah dua kali melakukan ujian RT-PCR, dengan ujian kedua dilakukan pagi tadi.

Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku itu berkata kali terakhir beliau berjumpa Jaimin adalah pada 29 Julai lepas, apabila Sidang Khas Dewan Rakyat ditangguhkan selepas kes Covid-19 dikesan di bangunan itu.

Ia menyebabkan semua ahli Parlimen dan kakitangan diarahkan menjalani ujian swab.

“Kami berdua diuji negatif hari itu. Saya balik ke Sabah pada Isnin berikutnya dan dia tinggal (di KL). Kami tak berjumpa selepas itu.

“Dia kemudiannya telefon, beritahu saya yang dia dimasukkan ke hospital dan tak boleh balik ke Sabah. Malangnya berita buruk sampai semalam,” katanya dipetik portal Free Malaysian Today.

Jaimin, pegawai khas kepada Guandee, meninggal dunia semalam kerana Covid-19, dipercayai dijangkiti ketika persidangan Parlimen sebelum ini.

Kementerian Kesihatan berkata sekurang-kurangnya 88 kes dikesan selepas persidangan Dewan Rakyat, yang tiba-tiba ditangguhkan pada 29 Julai lepas selepas kes pertama dikesan. – 10 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen