Pakatan cadang 5 langkah sebelum Putrajaya longgar SOP


Ravin Palanisamy

Kelonggaran sekatan pergerakan dan keistimewaan tambahan kepada individu sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 tidak boleh dibuat secara terburu-buru, kata Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Ogos, 2021.

KELONGGARAN sekatan pergerakan dan keistimewaan tambahan kepada individu sudah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 perlu dibuat secara cermat dan bukan mendadak, kata Jawatankuasa Kesihatan Pakatan Harapan (PH).

Kerajaan diingatkan supaya lebih berhati-hati, dan pelan kelonggaran haruslah berdasarkan fakta dan bukti daripada kesilapan lepas, tegasnya.

“Keputusan yang dibuat secara terburu-buru boleh mengakibatkan peningkatan mendadak kes Covid-19 dalam kalangan masyarakat dan akan lebih membebankan sistem kesihatan awam,” kata jawatankuasa itu dalam kenyataan hari ini.

Ia turut mencadangkan lima parameter yang perlu dipenuhi sebelum keistimewaan atau “Pas Hijau” diberi:

(1) Liputan vaksinasi sesuatu kawasan hendaklah sekurang-kurangnya 60%.

(2) Semua kumpulan yang berisiko tinggi terutamanya warga emas dan mereka yang berkomorbiditi telah menjalani suntikan vaksin dua dos yang lengkap.

(3) Kapasiti sistem penjagaan kesihatan sesuatu kawasan tidak melebihi 70% dan haruslah diperkasakan untuk menangani sebarang kesulitan.

(4) Mewujudkan Strategi Pelan Ujian Nasional yang komprehensif yang merangkumi “Kenal Pasti, Ujian, Kesan, Kuarantin, Sokongan” (FTTIS) dalam mengawal jangkitan dalam masyarakat. 

Strategi tersebut haruslah memperjelaskan prosedur operasi standard (SOP) individu yang akan diuji, bila ujian akan diadakan, kekerapan ujian dan apa yang akan terjadi setelah ujian dijalankan untuk setiap industri dan sektor. 

(5) Kadar kejadian hendaklah tidak kurang daripada 250 setiap 100,000 kes aktif.

“Pas Hijau” boleh dipertimbang untuk diberi kepada semua individu yang lengkap dua dos vaksin hanya selepas kesemua parameter di atas dicapai, jelasnya.

“Apabila parameter tersebut dan status vaksinasi dicapai, keistimewaan yang diberi dapat membantu pembukaan negara secara selamat dan lestari. 

“Ini adalah melalui prinsip penjagaan dan pengawasan, pertanggungjawaban dalam memelihara keseimbangan antara nyawa dan kehidupan, pengawalan pengukuhan ekonomi dan kesihatan fizikal serta mental masyarakat haruslah ditekankan,” kata jawatankuasa itu.

Jawatankuasa Kesihatan PH bagaimanapun mengingatkan, SOP yang sewajarnya dan langkah-langkah kesihatan awam termasuk amalan pemakaian pelitup muka, pengamalan penjarakan fizikal dan kebersihan tangan harus diteruskan walaupun telah mendapat keistimewaan atau “Pas Hijau”.

Terdahulu, sebanyak 24,542,437 dos vaksin Covid-19 diberikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan setakat semalam, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Daripada jumlah itu, seramai 15,772,101 orang menerima suntikan dos pertama manakala 8,770,336 orang menerima dos kedua, katanya.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin umum kemudahan rentas daerah, makan di premis restoran dan pelancongan dalam negeri dibenarkan bagi negeri dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk individu lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19, berkuatkuasa esok.

Individu yang lengkap divaksin di negeri terbabit juga dibenarkan menjalankan aktiviti sukan individu, katanya.

Pada masa ini, Lembah Kelang, Johor, Negeri Sembilan, Kedah, Melaka dan Melaka kini dalam Fasa 1 PPN.

Negeri Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Pulau Pinang, Sabah kini dalam Fasa 2 manakala Perlis, Sarawak dan Labuan sudahpun dalam Fasa 3 sejak 4 Ogos. – 9 Ogos, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen