Boleh rentas daerah, makan di kedai, melancong di negeri Fasa 2


Muhyiddin Yassin berkata kemudahan tersebut berkuatkuasa pada 10 Ogos bagi individu yang menerima suntikan lengkap mengikut dos dan tempoh ditetapkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2021.

KEMUDAHAN rentas daerah, makan di premis restoran dan pelancongan dalam negeri dibenarkan bagi negeri dalam Fasa 2 untuk individu menerima suntikan lengkap, kata perdana menteri.

Muhyiddin Yassin berkata, kemudahan tersebut berkuatkuasa pada 10 Ogos bagi individu yang menerima suntikan lengkap mengikut dos dan tempoh ditetapkan.

Jelasnya, bagi tujuan makan di premis, pasangan yang lengkap vaksin dibenarkan membawa anak berusia 17 tahun ke bawah dengan mematuhi SOP ketat.

Katanya, aktiviti tersebut paling berisiko tinggi kerana pelitup muka akan dibuka dan mendedahkan individu kepada jangkitan.

“Saya ingin nasihatkan dine-in apabila perlu sahaja, tidak terlalu lama,” katanya yang turut menyarankan pengusaha premis menyediakan lebih banyak tempat makan di ruang terbuka.

“Pemilik premis perlu pastikan sebelum mereka masuk premis, tunjuk sijil digital vaksin. Jika baru satu suntikan, tak boleh masuk,” katanya.

Ketetapan sama dikuatkuasa bagi pengusaha premis pelancongan yang diwajibkan memeriksa sijil vaksin digital sebelum membenarkan pelanggan berkenaan masuk.

Selain itu, individu yang lengkap divaksin di negeri terbabit juga dibenarkan menjalankan aktiviti sukan individu, kata Muhyiddin.

Ia termasuk kegiatan mendaki, joging, tenis, berbasikal, badminton dan tenis perseorangan serta golf dan permotoran.

Pada masa ini, Lembah Kelang, Johor, Negeri Sembilan, Kedah, Melaka dan Melaka kini dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Negeri Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Pulau Pinang, Sabah kini dalam Fasa 2 manakala Perlis, Sarawak dan Labuan sudahpun dalam Fasa 3 sejak 4 Ogos.

Kelonggaran bagi seluruh negara pula antara lain melibatkan kebenaran rentas daerah dan negeri bagi pasangan jarak jauh dan ibu bapa yang ingin menziarahi anak berusia bawah 18 tahun.

Kelonggaran juga diberikan untuk individu lengkap vaksin bagi menunaikan solat di masjid dan surau, dan rumah ibadat lain bagi bukan Islam – melibatkan semua negeri.

Pengembara pula hanya diwajibkan menjalani kuarantin wajib di rumah setibanya dari luar negara, atau bukan warganegara yang mempunyai kediaman di Malaysia, kata perdana menteri.

Perdana menteri juga menjelaskan, penerima vaksin Pfizer-BioNTech, Astrazeneca dan Sinovac dianggap lengkap divaksin 14 hari selepas menerima dos kedua.

Penerima vaksin dos tunggal seperti CanSino dan dan Johnson & Johnson pula hanya dianggap lengkap divaksin 28 hari selepas menerima vaksin, katanya lagi. – 8 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen