MENGAPA Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu tunggu sidang Dewan Rakyat pada September untuk buktikan beliau ada sokongan majoriti sedangkan ia boleh dibuat sekarang, soal Najib Razak.
Muhyiddin juga tidak perlu menggunakan alasan pandemik Covid-19 untuk menangguhkan sesi Parlimen, tambah bekas perdana menteri.
“Dia kata dia percaya bahawa dia masih ada sokongan majoriti. Tapi dia berjanji pada Yang di-Pertuan Agong akan usulkan undi percaya terhadap dia pada sesi Parlimen bulan September.
“Kenapa pula bukan sekarang memandangkan kita baru masuk bulan Ogos? ” tulisnya di Facebook hari ini.
Ahli Parlimen Pekan itu mengulas kenyataan Muhyiddin dalam perutusan khas tengah hari tadi, bahawa beliau masih ada sokongan yang cukup untuk terus menerajui kerajaan.
Muhyiddin juga berkata beliau akan merujuk keabsahannya di Parlimen apabila Dewan Rakyat bersidang September ini.
Najib, yang sering lantang mengkritik kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin, turut membidas alasan penangguhan sidang khas Dewan Rakyat kerana pandemik Covid-19.
“Tapi saya tengok mereka yang kononnya terdedah pada Covid dalam Parlimen sudah bebas ke sini dan ke sana - siap meeting tiap-tiap malam di rumah.”
Kedudukan kerajaan PN dan keabsahan Muhyiddin sebagai perdana menteri jadi persoalan selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semalam mengumumkan pihaknya sudah mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong surat akuan “yang mencukupi angka” untuk menarik sokongan mereka.
Zahid semalam umum bahawa 11 ahli Parlimen dari partinya menarik balik sokongan mereka terhadap Muhyiddin dan surat perakuan sudah dihantar ke Istana Negara.
Bagaimanapun, dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung di televisyen tengah hari tadi, Muhyiddin berkata hanya lapan ahli Parlimen Umno yang menarik sokongan terhadapnya.
Beliau menyampaikan perutusan khas itu dengan diiringi oleh beberapa anggota kabinetnya diketuai Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Muhyiddin juga berkata kedudukannya sebagai perdana menteri sering dipersoalkan berikutan keengganannya mencampuri urusan mahkamah membabitkan kes pertuduhan terhadap beberapa individu.
Kenyataan Muhyiddin itu disanggah Najib.
“Akhirnya dia salahkan dan menipu bahawa mereka yang tarik sokongan terhadap dia adalah mereka yang mahu kes digugurkan sedangkan cara terbaik untuk gugurkan ialah dengan membodek dan bukan melawan dia,” katanya.
Najib didapati bersalah tahun lalu atas kesalahan menerima RM42 juta daripada anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB), SRC International Sdn dan sedang dalam proses rayuan.
Bekas perdana menteri itu masih berdepan beberapa pertuduhan lain di mahkamah dalam kes berkaitan 1MDB. – 4 Ogos, 2021.
Komen