Saya ditekan kerana tidak mahu campur urusan mahkamah, kata PM


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hadir majlis mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pagi tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 4 Ogos, 2021.

MUHYIDDIN Yassin hari ini berkata kedudukannya sebagai perdana menteri seringkali dipersoalkan berikutan keengganannya mencampuri urusan mahkamah membabitkan kes pertuduhan terhadap beberapa individu.

Dalam perutusan khas yang disampaikan menerusi siaran langsung di televisyen hari ini, Muhyiddin berkata beliau enggan tunduk kepada desakan daripada Umno.

“Saya tahu mereka kurang senang dengan ketegasan saya untuk tidak melayan beberapa tuntutan mereka.

“Ini termasuk desakan supaya saya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.

“Saya juga dituduh menderhaka kepada Raja sedangkan apa yang saya lakukan adalah semata-mata untuk memelihara keluhuran Perlembagaan dan mempertahankan kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan.

“Saya tidak akan mengorbankan prinsip saya dan membelakangi sumpah jawatan saya untuk menunaikan segala kewajipan dengan jujur, menumpahkan taat setia kepada Raja dan negara serta memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan,” katanya.

Perdana menteri turut diiringi sembilan menteri lain ketika menyampaikan perutusan itu.

Muhyiddin dipercayai menyentuh berkenaan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas presiden Umno Najib Razak yang sedang berdepan kes di mahkamah dengan beberapa pertuduhan berkaitan rasuah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa.

Najib didapati bersalah tahun lalu atas kesalahan menerima RM42 juta daripada anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB), SRC International Sdn dan pada masa ini sedang dalam proses rayuan.

Bekas perdana menteri itu masih berdepan beberapa pertuduhan lain di mahkamah dalam kes berkaitan 1MDB.

Zahid yang juga pernah menjadi timbalan perdana menteri kepada Najib, berdepan 46 pertuduhan membabitkan salah guna kuasa dalam satu yayasan amal pada 2015.

Walaupun ada spekulasi mengatakan Muhyiddin tidak sehaluan dengan Umno susulan isu mahkamah ini, beberapa ahli politik lain bebas daripada pertuduhan di mahkamah sepanjang 17 bulan pentadbiran PN.

Antaranya ialah bekas ketua menteri Sabah Musa Aman yang dibebaskan daripada 46 pertuduhan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu. Tidak lama selepas dibebaskan, Musa mengumunkan kerajaan negeri diketuai Warisan runtuh susulan ramai wakil rakyat lompat parti.

Musa yang mendapat sokongan pentadbiran Muhyiddin, kemudian menyebabkan PRN Sabah diadakan ketika pandemik Covid-19. – 4 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen