Dr Noor Hisham dulu dipuji, kini dikeji kerana tutup Parlimen


Alfian Z.M. Tahir

KP Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata Parlimen ditutup dua minggu bermula 29 Julai selepas 11 kakitangan Parlimen positif Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2021.

KETUA Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dikecam hebat apabila ahli politik dan doktor mempersoalkan keputusan kementeriannya tidak membenarkan Parlimen bersidang, mempersoalkan adakah keputusan itu berdasarkan “sains politik.”

Susulan itu, lebih 100 ahli Parlimen berarak mengadakan bantahan semalam, di mana mereka menganggap keputusan itu dibuat berdasarkan kepada alasan politik, bukannya sains.Apatah lagi, kerajaan sepatutnya menjawab soalan penting pada persidangan yang dijadualkan semalam.

Dr Noor Hisham sebelum ini berkata Parlimen ditutup untuk dua minggu bermula 29 Julai selepas 11 kakitangan Parlimen positif Covid-19, daripada 1,183 orang yang telah disaring.

Memetik statistik, Dr Musa Nordin, pakar perunding pediatrik di Hospital Pakar KPJ Damansara mempersoalkan mengapa Parlimen tidak dibenarkan bersidang ketika kadar positif selepas ujian besar-besaran pada 29 Julai cuma 0.9%, di bawah tanda aras Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Statistik Parlimen menunjukkan pada 23 Julai ada 53 kes Covid-19 daripada 1,925 yang disaring. Kadar positif 2.8% dan KP kesihatan benarkan Parlimen bersidang,” kata Dr Musa.

“Tetapi, pada 29 Julai, ada 11 kes positif Covid-19 dari 1,183 yang disaring. Dengan kadar positif yang jauh lebih rendah  iaitu 0.9%, KP kesihatan sebaliknya mengesyorkan Parlimen ditutup selama dua minggu.

“WHO tetapkan tanda aras kadar positif sudah tidak terkawal adalah pada kadar 5%. Mengikut unit geografi, Parlimen berada jauh di bawah kadar ditetapkan WHO itu.”

Dr Musa berkata jika metrik Pelan Pemulihan Negara diambil kira, maka Parlimen tidak boleh ditutup.

Katanya, Dewan Rakyat juga mencapai imuniti kelompok kerana sudah ramai ahli Parlimen dan pegawai divaksinasi.

“Parlimen akan jadi antara tempat paling selamat di negara ini dan tidak boleh ditutup.

“Kita tertanya-tanya adakah cadangan KP kesihatan kepada perdana menteri itu berdasarkan ‘Sains Kesihatan Awam’ atau ‘Sains Politik’,” katanya.

Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii yang merupakan doktor perubatan dan pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi Parlimen berkata Dr Noor Hisham menggunakan parameter saintifik tidak sepatutnya bagi membolehkan Parlimen ditutup.

Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa dikerahkan semalam susulan ahli Parlimen pembangkang cuba masuk ke bangunan Parlimen walaupun sidang Dewan Rakyat ditangguhkan akibat penularan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2021.

Yii berkata tindakan Noor Hisham menggunakan “nilai CT” untuk membenarkan penutupan Parlimen selama dua minggu bukanlah suatu metrik bagi membuat keputusan kesihatan awam.

“Ia adalah alat virologi dan bukannya penggunaan metrik untuk membuat keputusan mengenai berapa lama lokasi perlu ditutup,” kata Yii.

Sebagai komander di barisan depan dalam perang melawan Covid-19 di Malaysia, Dr Noor Hisham mendapat pujian ramai kerana berjaya kekang pandemik sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama tahun lalu.

Keadaan berubah bagi Dr Noor Hisham setelah beliau menangguhkan persidangan Parlimen minggu lalu menggunakan alasan pandemik Covid-19 di Dewan Rakyat, keputusan yang kemudian dipersoalkan oleh beberapa ahli parlimen.

Kecewa dengan peningkatan kes Covid-19 yang kini melebihi satu juta, peserta protes #Lawan di Kuala Lumpur pada 31 Julai dilihat memegang plakat memberitahu ketua pengarah kesihatan agar tidak menjadi boneka kerajaan.

Namun, sasaran utama para penunjuk perasaan ialah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Peserta menuntut beliau letak jawatan, sidang penuh Parlimen dan moratorium pinjaman automatik buat semua orang bagi membantu meringankan beban ekonomi yang disebabkan oleh sekatan pergerakan Covid-19.

Ketua Penerangan Pejuang, Ulya Aqamah Husamudin memberitahu The Malaysian Insight Dr Noor Hisham ada peranan yang harus dimainkan dan beliau tidak boleh ikut kerajaan membuta tuli.

Ulya berkata Dr Noor Hisham perlu berhenti daripada membantu pemerintahan Muhyiddin.

“Beliau mesti sedar beliau bekerja untuk rakyat. Rakyat perlu diutamakan,” kata Ulya Aqamah.

Bekas anggota majlis tertinggi Bersatu dan wartawan veteran A Kadir Jasin menulis di laman Facebooknya seolah-olah Dr Noor Hisham secara sukarela atau terpaksa, telah membela kerajaan dalam isu penangguhan sidang Parlimen sekarang ini.

Katanya, nasihat profesional Dr Noor Hisham bukanlah masalah, tetapi oleh kerana nama kerajaan Perikatan Nasional (PN) begitu busuk dan tidak dipercayai jadi sesiapa pun yang bersangkut paut dengannya turut menjadi busuk dan diragui.

“Seikhlas dan seprofesional mana pun Dr Noor Hisham memberi nasihat, peluang dan ruang yang tercetus hasil daripada nasihatnya itu akan digunakan sepenuhnya oleh Mahiaddin dan para pesekongkolnya untuk menyelamatkan nyawa mereka yang berada di hujung Pedagang Damocles ciptaan mereka sendiri,” katanya merujuk kepada istana kuno Syracuse.

Tambah Kadir, risiko persidangan Parlimen tidak begitu tinggi sehingga memerlukan campur tangan Dr Noor Hisham. – 3 Ogos, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen