Hang Tuah tidak penakut seperti kerajaan Muhyiddin


Naim Al-Kalantani

POLITIK hari ini bertambah rencam dan banyak bumbu-bumbu lain diheret sekali masuk ke tengah-tengah gelanggang ini.

Gelanggang ini makin parah apabila pandemik Covid-19 melanda dunia dan di Malaysia sendiri, kes jangkitan Covid telah mencecah sejuta jangkitan. Angka belasan ribu tidak lekang dari carta kes jangkitan harian dalam beberapa minggu ini.

Covid-19 ini seperti satu bumbu ajaib yang datang ke negara ini untuk menunjukkan ketelusan bagaimana kerajaan bertindak dalam menangani wabak ini dan menerajui kerajaan dengan berkesan.

Semalam, 29 Julai kita dikejutkan dengan kenyataan Istana Negara yang mana Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agung menyatakan dukacitanya terhadap kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan yang tidak tepat dan mengelirukan Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Kenyataan yang telah menerima murka dari pihak Seri Paduka Baginda itu telah menggegarkan seantero Malaysia.

Selepas pukul 5, Malaysia dikejutkan dengan pelbagai lagi kenyataan media lain dari pelbagai parti dan pimpinan politik.

Saya ketawa kecil apabila membaca kenyataan media dari Ketua Whip Kerajaan Ismail Sabri Yaakob yang menegaskan bahawa kerajaan masih mendapat sokongan melebihi 110 ahli Parlimen yang masih bersama-sama kerajaan pada hari ini.

Kenyataan ini cukup menggelikan hati saya yang memang sudah ketawa terbahak-bahak dengan manusia-manusia di kerusi-kerusi parlimen ini.

Apabila Ismail Sabri Yaakob menyatakan sedemikian, perkara tersebut tidak dapat dibuktikan dengan fakta yang jelas – adakah cukup sekadar satu kenyataan media sahaja untuk menenangkan hati kerajaan?

Ada satu cara yang dapat memberi ketelusan secara tepat – iaitu beradu tenaga. Di dalam Dewan Parlimen, mereka sepatutnya dibolehkan untuk membuat usul undi tidak percaya apabila seseorang tidak lagi sesuai untuk memegang jawatan, dalam kes ini kepercayaan pada Tan Sri Mahiaddin.

Dengan adanya usul ini, barulah kita selaku rakyat dapat melihat sejauh mana kebenaran angka 110 tersebut.

Cara yang sama ini juga dibuat oleh Hang Tuah ketika berlayar ke Majapahit. Hang Tuah beradu tenaga dengan perajurit Majapahit.

Maka adalah seorang penjurit, terlalu banyak tahunya bermain tombak dan bertikam-tikaman. Jikalau empat lima orang menikam dia tiada kena. Maka penjurit itu pun dipesan oleh Patih Gajah Mada kepadanya, “Hai penjurit, adapun tatkala orang bermain tombak itu, katamu di hadapan Raja Melaka itu: ‘Manatah hulubalang Melayu yang pandai bermain tombak dan senjata? Dan keris panjang dan tahu bermain lembing dan perisai? Marilah berhadapan denganku! Empat pun baik, lima pun baik. Maka tiadalah aku endahkan.” (Ahmat Adam, 2018, hal. 204)

Hulubalang tersebut menerima hasutan dari Patih Gajah Mada yang memang ingin Hang Tuah mati. Pembesar-pembesar yang lain sedang sparring di tengah-tengah peseban, dan tiba-tiba naiklah perajurit tersebut ke balai mengadap itu untuk dan membuat onar.

Pembesar-pembesar lain ketakutan dan lari dari perajurit tersebut. Perajurit tersebut dikatakan pandai bermain tombak sehingga dikatakan ‘tiada berjejak di bumi.’

Keadaan menjadi kucar-kacir. Habis segala priyayi dan pegawai lari dari perajurit tersebut. perajurit Majapahit bertempik dan memanggil siapakah gerangan Hang Tuah dan mencabar untuk menentangnya.

Apa yang Hang Tuah buat ketika dicabar sebegitu rupa? Adakah Hang Tuah lari keluar dewan? Adakah Hang Tuah panggil semua adik-beradiknya dan bermesyuarat di Damansara sehingga lewat malam? Tidak.

Saya fikir Hang Tuah pun sedar dia tidak berada di Melaka – bukan tanah tumpah negerinya, tetapi sebagai seorang pahlawan Melaka yang terbilang dan tidak mahu memalukan Baginda Sultan, dia turun ke peseban dan mendepani perajurit tersebut.

Hang Tuah dengan mudah dapat menepis serangan keris perajurit. Si penghasut, Patih Gajah Mada melihat keadaan genting itu dan resah. Dia menghampiri perajurit dan memegang tangannya dan melarang dia berlawan dengan Hang Tuah. Patih Gajah Mada seperti tahu dia akan kalah. Satu ‘kad kuasa’ dikeluarkan, dia menyatakan “Lamun hendak bertikam, persembahkan dulu pada ke bawah Duli Paduka Batara. (Ibid., hal. 205).

Kad ini dikeluarkan untuk mendapat perlindungan dari kuasa raja Majapahit. Tidak malu sepeser pun untuk berselindung dengan kuasa sultan dan raja walhal yang membawa masuk perajurit itu dan menghasutnya ialah orang yang sama.

Patih Gajah Mada tahu dan dia takut kehilangan orangnya. Tetapi apatah daya, datang Hang Jebat mengarahkan melepaskan si perajurit untuk menentang Hang Tuah kerana Tuah ketika itu “sangat hendak bertikam”. Tuanku Seri Batara murka dan mengarahkan Patih Gajah Mada melepaskan sang perajurit untuk diadukan dengan Hang Tuah.

Murka tuanku sultan ini berasas kerana mungkin ingin mengetahui kehebatan Hang Tuah yang dikatakan hulubalang Melaka itu dan juga jika tuanku sultan melarangnya, dia tidak tahu adalah perajurit negerinya itu setanding dengan hulubalang milik Sultan Melaka.

Pertikaman dijalankan dengan penuh epik. Dan akhir sekali perajurit tersebut matilah ia ditikam oleh Hang Tuah dan mendapat pujian dari Seri Batara. Hang Tuah tahu, dan dia percaya, dia akan menang dalam pertempuran tersebut.

Inilah cara Melayu menunjukkan kekuatannya walaupun ada hubungan diplomatik dibuat. Pemegang tampuk kuasa tidak perlu khuatir dengan 110 kepercayaan dari ahli kumpulannya. Persembahkan angka itu di dalam peseban dan bertarunglah dengan adil.

Patih Gajah Mada datang menemui Hang Tuah dan ingin mengendeng seperti dia tidak bersalah dan berterima kasih kepada Tuah kerana membunuh perajurit tersebut. Tuah tahu permainan orang jahat seperti itu. Api dalam sekam dan gunting dalam lipatan. Hang Tuah memerli dengan menyatakan,

“Akan bicara manira jangankan seperti pakanira itu, tiada akan manira tikam; jikalau punggawa Menjapahit itu sekalipun, manira tikam juga” (Ibid., hal. 207).  Dengan kiasan dari Hang Tuah itu, maka Patih Gajah Mada pun reti malu dengan tindakannya sebentar tadi.

Kisah kehebatan Hang Tuah menunjukkan keagungannya tidak berakhir di situ sahaja. Kita disogok lagi dengan kisah popular Taming Sari yang mengamuk di peseban dan meninggi diri sebagai “penjurit tuha” (berpengalaman atau ulung).

Pertikaman epik ini sangat tegang dan mulanya melibatkan saudara Hang Tuah yang lain dan pegawai-pegawai istana yang cuba menghalangnya. Tetapi Hang Tuah jua dapat mengalahkannya dengan muslihat.

Muslihat ini dari satu sudut kita boleh takrifkan ia sebagai muslihat politik yang bijak dalam sejarah Hang Tuah. Hang Tuah bukan sahaja pandai silat dan panglima gagah, tapi muslihat untuk menipu musuhnya juga menunjukkan dia ini bukan bodoh alang.

Pertukaran keris panjang Hang Tuah dengan keris Taming Sari merisikokan pertempuran ini. Tetapi dia nekad untuk bertukar keris kerana dapat membaca kekebalan Taming Sari berada pada keris milik musuhnya itu.

Pertukaran keris turut disertai dengan tawaran kuasa untuk memerintah Majapahit dengan, “… muafakat mengamuk Batara Menjapahit ini; dan Patih Gajah Mada pun kita bunuh, dan punggawa yang besar-besar pun kita bunuh. Sudah itu akan segala penjurit dan perlente kita perbaiki; dan engkau menjadi Ratu di dalam negeri ini. Aku menjadi Patih. Siapa dapat membunuh kita kedua ini?” (Ibid., hal. 210).

Pertukaran keris ini ibarat pertukaran politik. Kerajaan Mahiaddin kini tidak ada apa-apa pertukaran dengan rakyatnya. Hanya pertukaran taburan wang diberi kepada rakyat – pun itu sebenarnya adalah wang dari rakyat jua (i-Citra).

Kerajaan Malaysia kini tiada apa-apa yang dapat diberikan, tidak sama seperti pertukaran keris dengan keris dalam Hikayat Hang Tuah. Naratif kerajaan telah rosak dan punah ranah. Jika saya berada di dalam tampuk kepimpinan sekarang ini, saya sangat gusar memikirkan cara untuk menang di PRU akan datang. Tiada naratif dan muslihat lain untuk dimainkan untuk memenangi hati rakyat.

Hang Tuah menikam Taming Sari dengan keris musuhnya. Ibarat keris makan tuan. Tikaman tersebut tepat di bahagian dada Taming Sari dikatakan tembus sehingga kelihatan terbayang-bayang di belakang badan Taming Sari.

Hang Tuah nak ke peseban dan menyembah Batara Majapahit dan sujud pada Raja Melaka. Raja Melaka sukacitalah baginda kepada Hang Tuah lalu baginda mencium kepalanya. Saya percaya zahirnya dukacita Agong semalam adalah berasas pada kerajaan sedia ada hari ini, kerana kerajaan ini tidak kompeten dan melangkaui kuasa Agong dalam membuat keputusan yang sepatutnya baginda turut terlibat sama.

Jika kerajaan kompeten, memenangi hati rakyat, dapat bertindak sewajarnya, tidak membuat perkara-perkara yang melangkaui batas Tuanku Agong, nescaya Mahiaddin dapat ‘dicium kepalanya’ jua.

Taming Sari dihadiahkan kepada Hang Tuah dan Hang Tuah diangkat oleh Batara menjadi Laksamana. Taming Sari sebilah itu lebih bernilai dari 10 batang anak sungai Jemara. Hang Tuah memiliki naratif baru untuk mengetengahkannya dalam arena kepahlawanan. Dia memiliki keris Taming Sari yang penuh hikmat. Dan dia juga digelar ‘Laksamana’ dari negeri lain.

Naratif inilah yang akan digunakan oleh Hang Tuah sampai bila-bila selagi dia masih hidup. Tiada yang berani mendepaninya apabila dia memiliki (keris) Taming Sari itu. Berbeza dengan kerajaan Mahiaddin sekarang, mereka ini tiada keris yang betul-betul bernilai sekarang. Bahkan mereka ini tidak ada satu pun senjata ampuh untuk mendepani musuh.

Orang yang berkuasa akan ada kecenderungan untuk menguji kuasanya. Jadi, mahu tidak mahu, rakyat mahu lihat, adakah Taming Sari (kuasa) yang ada pada kerajaan ini betul-betul mendapat mandat dari majoriti Ahli-ahli Parlimen? Jika ia benar, pun tidak rugi untuk beradu tenaga untuk memeriksa dan bolehlah kalian bermegah-megah dengan keris tersebut.

Saya syak, jika Hang Tuah masih hidup tentu dia pun akan kecewa pada kerajaan Mahiaddin sekarang ini. – 30 Julai, 2021.

Rujukan
Ahmat Adam. (2018). Hikayat Hang Tuha (Atau Hikayat Hang Tua). Strategic Information and Research Development. Petaling Jaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

* Naim Al-Kalantani, penuntut ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen