Mahfuz mohon maaf kepada Sultan Pahang 


Zulkifli Sulong

Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar berkata beliau telah menjadikan contoh Sultan Pahang untuk menunjukkan bahawa walaupun sakit dan berusia, baginda terus memerintah.– Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Januari, 2018.

MAHFUZ Omar memohon maaf kepada Sultan Pahang dan Pemangku Raja Pahang berhubung ucapan pada satu sesi ceramah yang mungkin menyinggung pihak istana. 

Katanya, beliau meminta maaf kepada Tuanku Sultan Pahang dan pemangku raja jika kenyataan beliau dalam ceramahnya sebelum ini dikira menghina baginda.

“Saya tidak berniat untuk memperlekeh dan menghina Tuanku Sultan Pahang dalam ceramah saya. Ini kerana saya kata, faktor umur tidak boleh dijadikan hujah untuk menolak Tun Mahathir sebagai bakal perdana menteri.

“Saya mengambil contoh Tuanku Sultan Pahang walaupun sudah berumur tetapi beliau masih mampu dan dikekalkan sebagai sultan. 

“Kalau itu dianggap menyiggung, saya memohon maaf kepada Sultan Pahang dan Pemangku Sultan,” kata Mahfuz kepada The Malaysian Insight.

Kenyataan Ahli Parlimen Pokok Sena itu dibuat selepas Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah murka dan tersinggung dengan tindakan pihak yang menghina dan menularkan rakaman video ayahanda baginda di media sosial.

Baginda turut menyifatkan tindakan ahli Parlimen Pokok Sena itu menghina dan memperlekehkan Sultan Pahang dalam ceramah politiknya sebagai melanggar tatatertib.

Mahfuz berkata beliau telah menjadikan Sultan Pahang sebagai contoh untuk menunjukkan bahawa walaupun sakit dan berusia, baginda terus memerintah.

“Saya hanya bercakap mengenai Dr Mahathir dan bagaimana faktor umur tidak boleh digunakan untuk menolaknya sebagai calon perdana menteri.

“Sekiranya ini tindakan yang menghina, Saya memohon maaf kepada Sultan dan Pemangku,” katanya. 

Sementara itu, hari ini pegawai khas Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kedah Zulkifli Ismail mengumumkan akan memanggil Mahfuz esok bagi memberi keterangan berhubung laporan yang di buat Pemuda Umno Pahang.

Isnin lalu, Pemuda Umno Pahang menggesa tindakan undang-undang dikenakan terhadap Mahfuz di bawah Akta Hasutan 1948 kerana didakwa menghina dan menjadikan video Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah yang sedang gering sebagai bahan jenakanya ketika memberi ceramah politik.

Berikutan kenyataan Mahfuz dalam ceramah itu, bertubi-tubi laporan polis dibuat terhadap bekas pemimpin PAS itu.

Sehubungan itu, semalam Mahfuz berkata beliau bersedia memberi kerjasama kepada pihak polis dalam siasatan berhubung dakwaan terhadap Sultan Pahang itu ketika menyampaikan satu ceramah politik baru-baru ini.

Dalam pada itu juga, Mahfuz mempertahankan ucapannya itu bukan berniat menghina Sultan Pahang sebagaimana didakwa oleh beberapa pihak.

“Saya kata, kalau akalnya kuat sebagaimana Sultan Pahang yang menyambut hari lahirnya atas katil sebagaimana yang diviralkan, ia tidak jadi masalah sebab akal dan fikiran dia masih kuat.

“Sama juga dengan Tun Mahathir, usia bukan penghalang kepada beliau,” katanya. – 17 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Ya ampoon ya maulana

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan