Mahfuz sedia bantu siasatan polis selepas didakwa hina Sultan Pahang


Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar berkata sedia bekerjasama dengan polis dalam siasatan berhubung dakwaan beliau menghina Sultan Pahang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2018.

AHLI Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar sedia memberi kerjasama kepada pihak polis dalam siasatan berhubung dakwaan beliau menghina Sultan Pahang ketika menyampaikan satu ceramah politik baru-baru ini.

Mahfuz bagaimanapun mempertahankan ucapannya itu bukan menghina Sultan Pahang sebagaimana didakwa oleh beberapa pihak termasuk Pemuda Umno Pahang dan beberapa pertubuhan masyarakat pro Umno yang membuat laporan polis terhadapnya.

Katanya, dalam ceramahnya di sebuah warung kopi dekat Taiping, Perak pada 8 Januari lalu, beliau tidak ada niat dan tidak menghina Sultan Pahang.

“Apa yang saya sebut adalah menjawab dakwaan bahawa Dr Mahathir Mohamad tidak layak menjadi perdana menteri lagi kerana usianya telah tua.

“Saya kata, usia bukan penghalang untuk menjadi pemimpin dan ketua, tetapi akal dan ilmu yang memainkan peranannya.

“Saya kata, kalau akalnya kuat sebagaimana Sultan Pahang yang menyambut hari lahirnya atas katil sebagaimana yang diviralkan, ia tidak jadi masalah sebab akal dan fikiran dia masih kuat.

“Sama juga dengan Tun Mahathir, usia bukan penghalang kepada beliau,” kata Mahfuz, menyokong keputusan Pakatan Harapan (PH) mencalonkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri jika menang Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Mahfuz memberikan ceramah itu sehari selepas Konvensyen PH yang mengesahkan pencalonan Dr Mahathir sebagai bakal perdana menteri.

Katanya, sebelum ini dalam satu ceramah lain, beliau juga memuji Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim yang menjadi Yang di-Pertuan Agong untuk kali kedua.

“Dua kali baginda jadi Agong. Sekali masa muda dan satu lagi ketika sudah berusia.

“Begitu juga Dr Mahathir, apa salahnya jadi PM sekali lagi kalau akal dan fikiran dia masih boleh,” katanya.

Mahfuz berkata usia tidak jadi masalah untuk menjadi pemimpin atau ketua.

Yang tak layak jadi pemimpin walaupun muda adalah macam ketua pemuda Umno Pahang yang buat laporan polis itu, walaupun muda tetapi nyanyuk dan bodoh,” kata Mahfuz.

Sekurang-kurangnya empat laporan polis dibuat terhadap Mahfuz berhubung ucapannya itu yang didakwa menghina dan menjadikan video Sultan Ahmad Shah yang sedang gering sebagai bahan ceramah politiknya.

Di Kuantan, dua laporan polis dibuat, masing-masing oleh Pemuda Umno Pahang dan Persatuan Kebajikan Ketua-ketua Kampung Pahang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan petang ini.

Ketua Pemuda Umno Pahang Mohd Shahar Abdullah yang ditemui berkata semua rakyat Pahang perlu bersatu bagi mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Mahfuz itu, lapor Bernama. – 16 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen