3 sahabat sumbang alat pemekat oksigen, bantu pesakit Covid-19


Noel Achariam

Mohan Kumar Sammathuria bersama rakannya menyumbangkan alat pemekat oksigen ke HTAR bagi membantu pesakit Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight, 26 Julai 2021.

TIGA sahabat tampil memberi sumbangan beberapa alat pemekat oksigen bagi kegunaan pesakit Covid-19, dengan harapan dapat membantu menyelamatkan nyawa mereka yang dijangkiti virus itu.

Mereka prihatin untuk memberi sumbangan itu susulan jumlah kes Covid-19 yang tinggi di hospital dan sangat memerlukan alat bantuan pernafasan di ketika angka kematian semakin meningkat.

Mereka berjaya mendapatkan dua pemekat oksigen 10 liter hasil sumbangan termasuk daripada ahli keluarga dan rakan.

Alat berkenaan disumbangkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Mohan Kumar Sammathuria, 50, berkata antara sebab mendorong mereka memberi sumbangan itu kerana lonjakan kes kematian disebabkan pandemik Covid-19.

Mohan memberitahu The Malaysian Insight matlamat utama untuk membantu mereka yang mengalami kesukaran bernafas.

“Kami bimbang dengan peningkatan jumlah kes dan melihat jumlah kematian semakin tinggi dan apa yang dapat kami lakukan untuk membantu mengurangkan jumlahnya.

“Sebagai kumpulan kecil, tidak banyak yang dapat kita lakukan, tetapi jika kita dapat membantu seorang dua pesakit dengan pemekat oksigen ini maka kita sudah melakukan tugas kita.”

Menceritakan pengalamannya, Mohan berkata beliau sedih mendengar rakannya dari Pulau Pinang kehilangan isteri dan ibu akibat Covid-19.

“Rakan saya ada dua anak remaja. Seluruh keluarga disahkan positif. Mereka pulih tetapi isteri dan ibu mertua dimasukkan ke hospital dan kemudiannya meninggal dunia.

“Jadi, ia sukar untuk didengar. Rakan saya juga kehilangan orang tersayang. Ini sangat sukar.”

Malaysia merekodkan 17, 045 kes baru Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 1,013,438.

Selangor terus menyumbang sebahagian besar kes dengan 8,500 jangkitan. – 26 Julai, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen