KKM tambah 5 ambulans untuk Hospital Klang, kata pengarah hospital


Pengarah HTAR Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata tambahan itu dibuat kerana penggunaan ambulans sangat tinggi yang disifatkannya sebagai 'luar biasa’. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) telah menambah lima lagi ambulans untuk Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, kata pengarah hospital berkenaan Dr Zulkarnain Mohd Rawi.

Menerusi laman Facebook HTAR, beliau berkata tambahan itu berikutan keadaan darurat pada masa sekarang membabitkan penggunaan ambulans yang sangat tinggi atau disifatkan beliau sebagai ‘luar biasa’. 

“Panggilan yang diterima sangat banyak. Permintaan mengatasi keupayaan sedia ada,” katanya.

Dr Zulkarnain mengulas demikian susulan laporan sebuah portal dalam talian bahasa Inggeris semalam (17 Julai), yang mendakwa Ahli Parlimen Klang Charles Santiago sebagai berkata dua individu dari kawasannya gagal mendapatkan ambulans untuk menerima rawatan Covid-19 di HTAR. – Bernama, 18 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen