Doktor Hospital Serdang diberi amaran jangan sertai hartal esok


Alfian Z.M. Tahir

Amaran diberikan kepada doktor muda di Hospital Serdang bagi menghalang mereka menyertai protes Hartal Doktor Kontrak esok.– Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Julai, 2021.

DOKTOR di Hospital Serdang diminta untuk tidak menyertai protes Hartal Doktor Kontrak esok.

The Malaysian Inssight difahamkan, polis sedia menahan mana-mana pengamal perubatan yang ingkar arahan berkenaan. 

Menurut seorang doktor muda di Hospital Serdang, yang dijadikan hospital Covid-19, anggota cawangan khas polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) akan dikerah untuk memantau situasi di hospital berkenaan esok.

“Ketua jabatan saya sedang mencari sesiapa yang akan menyertai protes esok. Doktor telah diganggu dan diberi amaran untuk tidak sertainya.

“Kami diberitahu bahawa polis akan menahan sesiapa yang menyertai protes itu dan FRU sedia dihantar,” kata seorang doktor tetap di hospital berkenaan.

Doktor yang enggan namanya disiarkan turut mendedahkan Pengarah Kesihatan Selangor Dr Sha’ri Ngadiman yang membuat ancaman tangkapan kepada doktor hari ini.

“Beliau datang ke Hospital Serdang dan meminta kami untuk tidak sertainya dan polis sedia menahan kami jika berbuat demikian,” tambahnya. 

Terdahulu hari ini Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin mahu Putrajaya membenarkan protes Hartal Doktor Kontrak esok sebagai tanda penghormatan terhadap hak kebebasan bersuara.

Khaled dalam satu kenyataan juga berkata rundingan antara doktor yang melakukan mogok dengan kerajaan harus diteruskan untuk mencari jalan keluar.

Minggu lalu, dalam usaha untuk menghentikan protes Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Putrajaya akan melanjutkan temoh kontrak pegawai perubatan dan pergigian yang diterima untuk latihan pakar kepada tempoh maksimum empat tahun dan tambahan dua tahun kepada doktor kontrak sedia ada. 

Bagaimanapun tawaran itu ditolak oleh mereka yang berada di belakang Hartal Doktor Kontrak.

Kira-kira 4,000 hingga 5,000 doktor di seluruh negara dijangka akan menyertai protes Hartal Doktor Kontrak yang akan bermula esok. 

Mendakwa tiada pilihan lain, wakil kumpulan itu, Dr Umar Baraka berkata doktor dari Hospital Sungai Buloh – salah satu pusat rawatan utama pesakit Covid-19 – juga akan turut serta dalam mogok tersebut.

Ini akan menjadikan sistem kesihatan awam huru-hara kerana pada masa ini terdapat lebih kes aktif 145.000 Covid-19.

Lokasi mogok antara lain akan berlaku di Hospital Sultanah Bahiyah di Kedah, Hospital Taiping dan Ipoh, Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Sultan Ismail di Johor serta Hospital Sungai Buloh bermula 11 pagi. – 25 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen