NAIB Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin mahu Putrajaya membenarkan protes Hartal Doktor Kontrak esok sebagai tanda penghormatan terhadap hak kebebasan bersuara.
Khaled dalam satu kenyataan juga berkata rundingan antara doktor yang melakukan mogok dengan kerajaan harus diteruskan untuk mencari jalan keluar.
“Doktor dan pengamal perubatan adalah pejuang barisan hadapan negara. Mereka harus dilayan dan dihargai dengan sewajar dan seadilnya.
“Izinkan Hartal ini berlaku esok sebagai menghormati kebebasan bersuara kumpulan doktor perubatan ini tetapi kemudian segeralah kedua-dua pihak kembali semula ke meja rundingan,” katanya.
Khaled menegaskan bahawa Putrajaya mesti membuat rancangan komprehensif dengan agenda jangka panjang.
“Ia mesti mengambil kira kemaslahatan jangka panjang serta keperluan keseluruhan sistem kesihatan negara. Negara sedang berhadapan dengan darurat kesihatan yang teruk. Masalah ini tidak boleh dibiarkan berlarutan,” tambahnya.
Awal minggu ini, sekitar 4,000 hingga 5,000 doktor di seluruh negara dijangka mengambil bahagian dalam protes Hartal Doktor Kontrak yang dijadualkan esok.
Mendakwa tiada pilihan lain, wakil kumpulan itu, Dr Umar Baraka berkata doktor dari Hospital Sungai Buloh – salah satu pusat rawatan utama pesakit Covid-19 – juga akan turut serta dalam mogok tersebut.
Ini akan menjadikan sistem kesihatan awam huru-hara kerana pada masa ini terdapat lebih kes aktif 145.000 Covid-19.
Lokasi mogok antara lain akan berlaku di Hospital Sultanah Bahiyah di Kedah, Hospital Taiping dan Ipoh, Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Sultan Ismail di Johor serta Hospital Sungai Buloh bemula 11 pagi. – 25 Julai, 2021.
Komen