ENAM individu yang mengambil bahagian dalam protes “Konvoi #lawan” semalam dibebaskan, kata Sekretariat Solidariti Rakyat (SRR).
Jurucakap SSR, Mohd Asraf Sharafi Mohd Azhar memberitahu The Malaysian Insight keenam-enam individu berkenaan ditahan di balai polis Briekfields hampir enam jam sebelum dilebebaskan tanpa syarat.
Kesemua mereka adalah antara ratusan orang yang melakukan tunjuk perasaan dari kenderaan mereka semalam sambil mengibarkan bendera hitam.
“Keenam-enam mereka sudah membuat keterangan dan ada peguam yang membantu mereka. Mereka disiasat kerana disyaki melanggar prosedur operasi standard Covid-19. Namun tiada denda yang dikeluarkan hari ini,” kata Asraf ketika dihubungi.
Asraf berkata empat lagi individu juga disoal siasat pihak polis di Sepang dan Melaka pagi ini.
Kesemuanya dibebaskan setelah disoal siasat.
“Esok polis Dang Wangi dan polis Kajang akan memanggil beberapa individu yang menyertai perhimpunan semalam,” tambahnya.
Mengulas mengenai penangkapan tiga orang di Temerloh semalam, Asraf berkata ketiga-tiga mereka tidak ditahan tetapi diminta untuk menaiki kereta peronda polis.
“Di Temerloh, kami diberitahu mereka tidak ditahan. Mereka diminta masuk ke dalam kereta peronda dan mereka dibawa menaiki kenderaan tersebut.
“Mereka diberi peringatan oleh polis. Kami melihat ini sebagai intimidasi,” tegasnya.
The Malaysian Insight semalam melaporkan tiga lelaki ditahan di Temerloh kerana mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan “Konvoi #lawan”. – 25 Julai, 2021.
Berita penuh di sini
Komen