Nik Nazmi boleh tanding PRU14, rayuan naikkan denda ditolak


Muzliza Mustafa

Mahkamah Rayuan menolak permohonan kerajaan untuk meningkatkan jumlah denda RM1,500 yang dijatuhkan ke atas wakil rakyat PKR Nik Nazmi Nik Ahmad. Sekiranya dibenarkan oleh mahkamah, ia akan membatalkan kelayakannya untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 17 Januari 2018.

WAKIL rakyat PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berpeluang untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang memandangkan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini memihak kepadanya.

Mahkamah Rayuan mendapati tiada tiada merit dalam hujahan dikemukakan kerajaan untuk meningkatkan hukuman denda ke atas exco kerajaan Selangor itu dari RM1,500 kepada RM5,000.

Hukuman denda RM1,500 itu dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2016 apabila Adun Seri Setia itu mengaku salah atas kesalahan menganjurkan perhimpunan Black 505 pada 2013.

Panel hakim Mahkamah Rayuan juga mendapati, keputusan hakim Mahkamah Tinggi juga memadai dalam menjatuhkan hukuman RM1,500 ke atas Nik Nazmi atas kesalahan melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012.

Panel tiga orang hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri dari Yaacob Md Sam, Abdul Karim Abdul Jalil dan Mohtarudin Baki memutuskan perkara itu sebulat suara.

“Kami dengan sebulat suara memutuskan bahawa hujah timbalan pendakwa raya untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu tiada merit,” kata Mohtarudin.

Panel Mahkamah Rayuan sebelum itu mendengar hujah dari kedua-dua pihak selama kira-kira 20 minit sebelum membuat keputusan tersebut.

Timbalan pendakwa raya membangkitkan bahawa hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi itu tidak mengambil kira kepentingan umum dan tidak akan menghalang individu lain daripada melakukan kesalahan sama.

Menurutnya, Nik Nazmi selaku wakil rakyat sepatutnya menjadi teladan kepada masyarakat namun gagal mematuhi undang-undang yang mudah.

Beliau memohon agar denda itu dinaikkan kepada RM5,000.

Sementara itu, peguam Nik Nazmi, Syahredzan Johan pula berhujah bahawa Mahkamah Tinggi telahpun mengambil kira segala perkara sebelum menetapkan denda sebanyak RM1,500.

Tambah Syahredzan, keputusan Mahkamah Tinggi itu tidak hanya mengambil kira kebarangkalian bahawa Nik Nazmi akan hilang kelayakan sebagai wakil rakyat sekiranya denda itu melebihi RM2,000.

Nik Nazmi pula berkata beliau berharap agar DPP akan memanjangkan kes itu ke Mahkamah Persekutuan.

“Saya harap ia berakhir di sini. Perhimpunan (Black 505) berlangsung pada 2013 selepas pilihan raya umum ke-13. Dalam masa beberapa bulan kita akan tempuhi pilihan raya umum ke-14, jadi kita beralih ke hadapan.”

Beliau akan hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya sekiranya dijatuhkan hukuman denda tidak kurang dari RM2,000, seperti digariskan Perlembagaan Persekutuan.

Seksyen 9(5) dalam Akta Perhimpunan Aman pula memberi pilihan kepada mahkamah untuk menetapkan denda sehingga RM10,000 untuk kesalahan gagal memberi notis 10 hari kepada polis sebelum mengadakan perhimpunan.

Dalam satu kes pendulu pada 2015, setiausaha eksekutif PKR Johor R. Yuneswaran dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM6,000 kerana mengadakan perhimpunan Black 5050 tanpa memberi notis kepada polis.

Yuneswaran disabitkan kesalahan atas tuduhan tersebut oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 2013 namun dibebaskan dari tuduhan itu apabila dibawa ke Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 2014. Keputusan oleh Mahkamah Tinggi itu adalah berdasarkan satu keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman itu tidak mengikut perlembagaan.

Mahkamah Rayuan kemudiannya pada 2015 mengekalkan hukuman yang dijatuhkan ke atas Yuneswaran oleh Mahkamah Sesyen apabila mendapati hukuman sehingga RM10,000 yang diperuntukkan dalam Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman tidak bercanggah dengan Perkara 10 dalam Perlembagaan Persekutuan.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen