NIK Nazmi Nik Ahmad berkemungkinan hilang kelayakan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sekiranya Mahkamah Rayuan menaikkan denda kepada lebih RM2,000 esok kerana menganjurkan perhimpunan “Blackout 505” di Stadium Kelana Jaya pada 2013.
Pada 2016, Mahkamah Tinggi Shah Alam mendenda ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) dan Adun Seri Setia itu sebanyak RM1,500 apabila Nik Nazmi mengaku bersalah, selepas dituduh kali ketiga dengan kesalahan yang sama.
Bagaimanapun, masalah itu tidak berakhir begitu sahaja kerana Putrajaya bertindak membuat rayuan terhadap hukuman itu, menuntut penalti lebih berat.
“Saya tidak tahu berapa banyak yang mereka mahu tambah kepada hukuman saya. Mereka tidak berpuas hati dengan hukuman asal (RM1,500),” kata Nik Nazmi, yang juga exco Selangor, kepada The Malaysian Insight.
Beliau menyangka apabila mengaku bersalah selepas dituduh kali ketiga dengan kesalahan yang sama dan didenda, ia menjadi pengakhiran kesnya di mahkamah.
“Saya tidak menyangka kerajaan persekutuan untuk meneruskan hukuman lebih berat.”
Denda lebih RM2,000 oleh mahkamah rayuan esok akan membatalkan kelayakan Nik Nazmi daripada menjadi ahli Parlimen di bawah Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.
Beliau juga boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman kerana gagal memberikan notis 10 hari sebelum perhimpunan itu.
Kebimbangan Nik Nazmi difahami apabila Setiausaha Eksekutif PKR Johor R. Yuneswaran pernah didenda RM6,000 pada 2015 kerana menganjurkan perhimpunan tanpa memberi notis terlebih dahulu.
Yuneswaran disabitkan oleh Mahkamah Sesyen Johor pada 2013 tetapi dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Johor Baru pada 2014.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengekalkan semula hukuman Mahkamah Sesyen ke atas Yuneswaran pada 2015.
Diketuai oleh presiden Mahkamah Rayuan yang lalu dan Ketua Hakim Negara, Md Raus Sharif, mahkamah rayuan juga membatalkan keputusan penting yang dibuat dalam perbicaraan pertama Nik Nazmi yang bahagian dalam Akta Perhimpunan Aman yang memerlukan penganjur perhimpunan memberikan notis 10 hari kepada polis tidak berperlembagaan.
Esok, mahkamah rayuan di Putrajaya perlu membuat keputusan sama ada untuk memberikan hukuman lebih berat kepada Nik Nazmi.
Ketua Pemuda PKR itu sebelum ini mengatakan pertuduhan itu bermotif politik karena tidak ada ahli politik BN dibawa ke mahkamah kerana kegagalan memaklumkan pihak polis sebelum perhimpunan.
The Malaysian Insight melaporkan hujung minggu lalu yang para penganalisis dan pemimpin PH menjangkakan kerajaan akan memperhebatkan taktik intimidasi terhadap pembangkang menjelang PRU14.
Tambahan pula, Nik Nazmi berkata beliau memenangi saman sivil pada Disember lalu terhadap bekas peguam negara Abdul Gani Patail dan Putrajaya kerana pendakwaan yang berniat jahat. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menganugerahkannya ganti rugi sebanyak RM230,000.
Peguamnya, Syahredzan Johan berkata Nik Nazmi boleh menjadi rakyat Malaysia pertama didakwa tiga kali dengan kesalahan yang sama.
Syahredzan, seorang peguam Perlembagaan, menambah walaupun Nik Nazmi memfailkan rayuan selepas keputusan esok, beliau akan hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya jika denda itu meningkat lebih RM2,000.
“Tidak, beliau tidak boleh (bertanding pada PRU14). Beliau hanya tidak hilang kerusinya sehingga rayuan akhir, tetapi tidak layak untuk bertanding pilihan raya,” kata peguam itu.
Nik Nazmi memberitahu The Malaysian Insight beliau mengaku bersalah selepas dituduh kali ketiga untuk mengakhiri kesengsaraan proses perbicaraannya.
Beliau berkata Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke dan Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dibebaskan dengan denda RM1,950 pada November 2016 kerana menganjurkan perhimpunan “Blackout 505”.
“Saya berjuang sejak awal. Saya dibebaskan dan mencabar Perlembagaan PAA di Mahkamah Rayuan dan juga berjaya dalam saman saya terhadap kerajaan dan bekas peguam negara. Saya yakin saya akan menang.” – 16 Januari, 2018.
Komen