POLIS akan memanggil Ahli Parlimen Batu Pahat Mohd Rashid Hasnon berhubung dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan.
Ketua Polis Batu Pahat Ismail Dollah berkata satu kertas siasatan sudah dibuka selepas gambar beliau sedang makan di sebuah ladang pertanian di Batu Pahat tular di media sosial.
“Hantaran berasingan juga mendapati ahli Parlimen berkenaan sedang makan bersama seorang lelaki dua orang perempuan tanpa memakai pelitup muka dan penjarakan sosial.
“Siasatan dijalankan di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.
“Pihak polis akan memanggil ahli Parlimen berkenaan dan pihak-pihak yang terlibat untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, setiausaha sulit kepada Rashid, Mohd Zaihan Mohd Zainal, menafikan ahli Parlimen Bersatu itu melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Zaihan dalam satu kenyataan berkata gambar yang tersebar itu dirakam ketika Rashid, isterinya Azizah Haron dan anak mereka sedang sedang makan sementara menunggu masa untuk sesi penyembelihan lembu korban sempena Hari Raya Aidiladha.
“Lokasi ini berada dalam kawasan Parlimen Batu Pahat manakala sesi sembelihan yang dilaksanakan oleh Datuk Rashid adalah pada jam 3 pagi.
“Mengetahui jadual menyembelih lembu adalah pada jam 3 pagi, maka beliau dan keluarga menempah ‘homestay’ berdekatan dengan pusat sembelihan tersebut.
“Gambar yang sedang tular itu diambil awal pagi sebelum sesi penyembelihan tersebut bersama isteri dan anak beliau ketika menjamu hidangan ‘mentong’ (bahasa orang Johor) ataupun ‘supper’. Jadi, tidak timbul Datuk Rashid melanggar SOP,” katanya.
Awal bulan ini, polis merakam keterangan Rashid dan 14 individu lain berhubung dakwaan melanggar SOP selepas rakaman video mereka hadir dalam satu jamuan durian di sebuah kebun durian di Batu Pahat tular di media sosial.
Pada 30 Jun, Rashid mengaku hadir di kebun durian itu untuk mendengar aduan daripada tuan punya kebun yang terkesan dengan sekatan pergerakan.
Beliau membuat pengakuan itu sehari selepas mendakwa rakaman video yang tersebar adalah kejadian lama sebelum PKP.
Rashid juga memohon maaf kerana membuat kenyataan yang mengelirukan kononnya menjawab soalan wartawan mengenai rakaman video yang tular itu tanpa menonton sendiri video itu terlebih dahulu. – 23 Julai, 2021.
Komen