Polis ambil keterangan Rashid Hasnon, kes langgar SOP jamuan durian


Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat pada petang Khamis lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Julai, 2021.

POLIS sudah merakamkan keterangan Mohd Rashid Hasnon dan 14 individu lain berhubung dakwaan melanggar peraturan pencegahan penularan penyakit selepas rakaman video mereka hadir dalam satu jamuan durian di sebuah kebun durian di Batu Pahat tular di media sosial, baru-baru ini, lapor Bernama.

Ketua Polis Batu Pahat Ismail Dollah berkata Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat itu hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada petang Khamis lepas.

“Polis selesai merakam keterangan kesemua 15 individu berkenaan dan akan melengkapkan siasatan serta merujuk kes itu kepada Pejabat Pendakwa Raya.

“Kes akan disiasat mengikut Peraturan 18(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021,” katanya, seperti dipetik Bernama.

Pada 30 Jun lalu, Rashid yang juga ahli Parlimen Batu Pahat mengaku hadir di kebun durian itu untuk mendengar aduan daripada tuan punya kebun yang terkesan dengan sekatan pergerakan.

“Setiba saya di kebun, pengusaha kebun durian tersebut menghidangkan (durian) kepada kami. 

“Saya menjamah sedikit durian sambil berbincang dengan pengusaha kebun mengenai langkah-langkah bantuan yang boleh dihulurkan,” katanya.

Jelas Rashid, selepas perbincangan tamat, beliau meninggalkan “program” awal kerana perlu pulang ke Kuala Lumpur.

Beliau membuat pengakuan itu sehari selepas mendakwa rakaman video yang tersebar adalah kejadian lama sebelum PKP.

Beliau juga memohon maaf kerana membuat kenyataan yang mengelirukan kononnya menjawab soalan wartawan mengenai rakaman video yang tular itu tanpa menonton sendiri video itu terlebih dahulu.

Rashid adalah ahli Parlimen kerajaan kedua yang disiasat dalam tempoh dua minggu ini kerana melanggar SOP pencegahan penularan Covid-19.

Pada 27 Jun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed memohon maaf kerana melanggar SOP PKP selepas makan di sebuah kafe di kawasannya di Jeli, Kelantan.

Mustapa mengakui kesilapannya dan menyerahkan kes untuk diambil tindakan oleh pihak polis. – 3 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen