Marah kerajaan dengan Puisi Darurat, kata penganjur kempen media sosial


Diyana Ibrahim

Sambutan luar biasa bukan saja dalam kalangan penulis puisi bahkan pengguna am media yang menulis karya mereka dengan tanda pagar #PuisiDarurat terutamanya di Twitter, kata pengendali arkib puisi Bilik Penyair. – Gambar dari Instagram Bilik Penyair, 21 Julai 2021.

SASARAN kempen Puisi Darurat di media sosial beberapa hari lalu tercapai dengan penyertaan ramai pengguna media sosial menyuarakan kekecewaan terhadap cara kerajaan menangani pandemik Covid-19, kata penganjurnya.

Kempen yang turut membantah darurat, yang diisytihar tujuh bulan lalu untuk membendung jangkitan, popular di media sosial pada Sabtu, kata penganjur bersama kempen penulis dan penyair Karim Mohd.

Pengendali arkib puisi Bilik Penyair berkata, sambutan luar biasa bukan saja dalam kalangan penulis puisi bahkan pengguna am media yang menulis karya mereka dengan tanda pagar #PuisiDarurat terutamanya di Twitter.

Menurut Karim, kempen itu mencapai matlamat supaya masyarakat menulis puisi sebagai medium untuk meluahkan kemarahan dan kekecewaan dan menyampaikan suara rakyat kepada telinga kerajaan.

“Ada yang kecewa, merintih, sedih, ada yang memaki. Itu semua rasa, dan puisi menyediakan saluran untuk perasaan-perasaan sebegitu.

“Kami hanya nak orang lepaskan marah dengan cara elok… Bagi kita, dua-dua matlamat sudah tercapai,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika dihubungi.

Karim juga merasakan kempen itu mencapai sasaran apabila seorang peserta dengan nama @ivyvalerie diugut supaya menurunkan puisinya yang mengkritik kerajaan.

Ugutan itu menunjukkan kempen Puisi Darurat mencapai matlamat iaitu mahu suara keresahan rakyat sampai kepada kerajaan, katanya.

Dalam pada itu, Karim juga gembira kerana kempen Puisi Darurat meraih sokongan kelompok sastera bahasa Melayu dan Inggeris.

Seorang lagi penganjur, Farahin Wahid dari badan Gerak Malaysia berkata kemuncak kempen itu berlangsung dengan acara deklamasi yang mereka beri nama Puisi Parlimen, yang disiarkan langsung di Facebook pada Sabtu.

“Setakat ini kita belum ada rancangan untuk buat acara begini lagi cuma kempen saja yang masih berjalan di laman sosial,” katanya.

Farahin berkata selain Gerak Malaysia dan Bilik Penyair, kempen Puisi Darurat juga digerakkan oleh Malaysia Muda dan beberapa individu lain seperti penulis Zoul Yazix serta aktivis Ali Adnan.

Katanya, isu seperti kemiskinan rakyat, tekanan mental dan kelesuan petugas baris hadapan perlu disuarakan kepada kerajaan, namun ia sukar dinyatakan melalui aksi seperti demonstrasi.

“Nak turun ke jalan raya tak boleh dengan keadaan sekarang.

“Jadi kita gerakkan kempen ini untuk beritahu di atas (kerajaan) bahawa adanya gelombang suara dari rakyat yang marah dan kecewa dan mahukan perubahan,” katanya.

Farahin tidak menyangka ramai individu yang bukan dari kalangan penyair atau kelompok sastera menunjukkan minat berkongsi puisi mereka dalam kempen itu.

“Sastera ini satu masalahnya ia bersifat eksklusif. Ramai yang menyangka hanya orang dalam bidang itu saja yang boleh menulis puisi.

“Tapi ramai yang menulis puisi mereka dari pelbagai latar belakang,” katanya yang berpendapat, ramai tertarik dengan kebebasan untuk mengunjuk rasa melalui platform itu.

Puisi Darurat berlangsung sewaktu kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menerima kritikan meluas atas krisis kesihatan dan ekonomi akibat Covid-19. – 21 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen