434,828 vaksin Covid-19 diberikan setakat semalam, kata JKJAV


Ravin Palanisamy

Jumlah pemberian vaksin Covid-19 merekodkan jumlah tertinggi apabila sebanyak 434,828 dos diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Julai, 2021. 

JUMLAH pemberian vaksin Covid-19 merekodkan jumlah tertinggi apabila sebanyak 434,828 dos diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan semalam, kata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Dari jumlah dos vaksin yang dikeluarkan, 279,938 adalah dos pertama sementara selebihnya 154,890 adalah dos kedua.

Jumlah kumulatif pemberian dos di bawah program berkenaan kini berjumlah 12.64 juta.

Seramai 4 juta penduduk atau 17.1% populasi dewasa di Malaysia kini diberi vaksin sepenuhnya, sementara 8.64 juta atau 36.9% sudah menerima dos pertama mereka.

Berdasarkan statistik terkini, Labuan mempunyai perausan tertinggi bagi orang dewasa yang diberi vaksin sepenuhnya dengan 52% diikuti oleh Sarawak dengan 35% dan Perlis 32.2%.

Sementara itu, Lembah Klang merangkumi Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya mencatatkan jumlah tertinggi pemberian dos kedua dengan 1.03 juta orang sementara sejumlah 3.33 juta orang dewasa atau 54.1% menerima dos pertama mereka.

Semalam, Malaysia melaporkan rekod tertinggi kes Covid-19 dengan 11,618 jangkitan baharu.

Ini adalah hari kedua berturut-turut angka koronavirus harian berada di atas 11,000 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dua hari lalu berkata, kes harian dijangka meningkat dalam tempoh dua minggu akan datang sebelum kembali stabil selepas Kementerian Kesihatan melakukan lebih banyak ujian Covid-19. 

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini berkata beliau telah meminta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menilai semula kelonggaran kepada mereka yang sudah menerima dua dos suntikan vaksin.

Ini termasuk antaranya membenarkan mereka merentas negeri dan makan di kedai makan dan restoran.

“Mutakhir sekali saya telah minta jawatankuasa pengurusan untuk menilai semula bagi mereka yang sudah dapat vaksin dua suntikan supaya mereka diberikan kelonggaran sama ada dari segi perjalanan atau pun pergi ke kedai ataupun makan di restoran.

“Ini petanda bahawa kita nak menunjukkan sementara kita mengurus Covid-19, kehidupan rakyat mungkin sedikit demi sedikit akan kembali seperti masa-masa lepas,” katanya, seperti dipetik Astro Awani. – 13 Julai, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen