Kes Covid-19 terus cecah lebih 11,000


Malaysia melaporkan jangkitan harian Covid-19 dengan 11,618 kes baharu dalam tempoh 24 jam sehingga tengah hari ini, umum Kementerian Kesihatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2021.

MALAYSIA memecahkan sekali lagi rekod jangkitan harian Covid-19 dengan 11,618 kes baharu dalam tempoh 24 jam sehingga tengah hari ini, umum Kementerian Kesihatan.

Ini adalah rekod harian terbaharu dua hari berturut-turut selepas dipecahkan semalam dengan 11,079 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pertambahan kes hari ini menjadikan jangkitan Covid-19 di seluruh negara kini 867,567 kes.

Selangor juga sekali mencatatkan lebih 5,000 kes baharu dengan 5,051 lagi kes hari ini, rendah sedikit berbanding 5,263 kes semalam.

Kes terkumpul di Selangor juga kini menembusi 300,000, sejak jangkitan pertama dikesan di negara ini pada hujung Januari 2020.

Sementara itu, Negeri Sembilan juga untuk hari kedua berturut-turut sekali lagi merekodkan lebih 1,000 kes dengan pertambahan 1,537 lagi kes baharu.

Semalam buat pertama kali Negeri Sembilan mengesan 1,033 kes, yang tertinggi dalam rekod negeri itu sebelum hari ini.

Kuala Lumpur juga terus mencatatkan kes dalam lingkungan antara 1,000 hingga 2,000 kes, hari ini sebanyak 1,749 kes.

Dua negeri merekodkan kes dalam lingkungan 500 iaitu Melaka (526) dan Kedah (504) manakala Pahang mengesan 400 lagi kes baharu.

Johor mengesan 396 kes diikuti Sarawak (289), Sabah (286), Kelantan (236), dan Pulau Pinang (210).

Terengganu merekod 189 kes baharu manakala Perak juga di bawah paras 200 dengan 164 kes.

Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan kekal di bawah 100 kes, masing-masing 40 dan 38.

Perlis yang semalam tiada jangkitan baharu hari ini melaporkan 3 lagi kes. – 14 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen