KOMISEN terlampau tinggi dikenakan oleh platform penghantar makanan gergasi telah menjejaskan keuntungan perniagaan makanan dan minuman (F&B), kata pengusaha industri hari ini.
Ini menyebabkan restoran dalam dilema untuk terus guna sistem itu sedangkan perniagaan sedang parah, malah makan di tempat pula dilarang dalam tempoh setakan pergerakan yang tidak berpenghujung ini, kata Jeremy Lim, jurucakap industri F&B dalam sidang media maya hari ini.
Disebutnya sebagai duopoli, dua syarikat penghantar makanan utama itu mengenakan kadar komisen setinggi 30%.
Hampir semua restoran bergantung pada perkhidmatan penghantar makanan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dan PKP diperketatkan (PKPD) malah kena bayar komisen tinggi ini, katanya.
“Duopoli ini tuntut bayaran komisen yang terlampau tinggi hanya kerana saiz dan jangkauan platformnya. Kami bercakap tentang komisen setinggi 30% dan ke atas.
“Jadi, kami minta campur tangan kerajaan segera untuk terlibat dan mengawal selia dua platform penghantaran makanan terbesar ini.
“Kami mahu rebat dari caj komisen mereka yang terlalu tinggi dan mahu ia diturunkan kepada 15% sehingga Januari 2022.
“Ini bagi membantu memudahkan kelangsungan perniagaan,” kata Lim dalam sidang media diadakan bersama enam persatuan F&B di bawah United F&B.
GrabFood dan Foodpanda terkenal sebagai dua pemain besar dalam industri ini, walaupun ada banyak lagi platform penghantaran di negara ini.
Baru-baru ini, syarikat penerbangan tambang murah Malaysia AirAsia juga menyertai perniagaan penghantaran makanan.
Lim, yang juga naib presiden Persatuan Pemilik Restoran dan Bistro (PPRB), berkata minta kurang komisen bukanlah hal yang mustahil kerana beliau mendakwa kekurangan itu dapat dikampul semula dari permintaan dan pesanan yang meningkat dari orang ramai.
Lim berkata, buat masa ini, lebih banyak orang tidak ada pilihan selain bergantung pada penghantaran kerana makan di tempat dilarang di bawah sekatan pergerakan.
Bayaran komisen yang tinggi menjadikan restoran dalam dilema kerana setiap pesanan penghantaran menyebabkan mereka makin kurang untung.
“Apabila saya dapat komisen 30%, saya akan hilang 10% hingga 15% kerana kos asas saya sekitar 80% hingga 85%,” kata Lim.
Lim, yang memiliki kelab malam Dragonfly KL, juga berkata kesejahteraan pengendali penghantaran wajib dijaga, jika kerajaan atau pemain besar memutuskan untuk menurunkan kadar komisen.
“Mereka tidak boleh guna alasan pengurangan ini untuk menyalahkan penunggang dan mengurangi harga komisen mereka. Itu tidak wajar.
“Kesejahteraan mereka harus dijaga dan penunggang yang mencari nafkah harus dilindungi,” kata Lim.
Lim juga bimbang sekatan pergerakan tidak berpenghujung telah memburukkan lagi ekonomi sektor F&B di mana 60 peratus perniagaan dijangka tutup jika sekatan dilanjutkan lagi. – 14 Julai, 2021.
Komen