3 daripada 5 gerai F&B gulung tikar jika lanjut sekatan, kata pemain industri


Ravin Palanisamy

Sekatan berterusan akan beri kesan buat hampir sejuta orang melibatkan petani, nelayan, pembekal dan pengedar termasuk ahli keluarga mereka, kata Jeremy Lim, jurucakap industri F&B. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2021.

SEKATAN pergerakan tidak berpenghujung telah memburukkan lagi ekonomi sektor makanan dan minuman (F&B) di mana 60 peratus perniagaan dijangka tutup jika sekatan dilanjutkan lagi, kata pemain industri.

Jeremy Lim, jurucakap industri F&B berkata, kini mereka terpaksa kibarkan “bendera putih”, merayu kerajaan kendurkan larangan makan di tempat.

Ini kerana larangan yang tidak berpenghujung akan memberi kesan terhadap hampir sejuta orang, katanya.

“Kami anggar ada lebih kurang 200,000 gerai F&B. Katakan setiap gerai ada lima pekerja, jadi kami jangka sejuta mata pencarian kini dalam pertaruhan.

“Banyak pengendali F&B ada aliran tunai kurang dari dua bulan. Jika sekatan dilanjutkan, kami jangka yang akan gukung tikar sebanyak 60%. Ini bermaksud sekitar 500,000 isi rumah akan terjejas,” kata Lim pada sidang media maya F&B United hari ini.

Beliau yang juga naib presiden Persatuan Pemilik Restoran dan Bistro (PPRB), berkata larangan itu bukan sahaja memberi kesan kepada pemilik restoran tetapi juga ekosistem yang menyokong sektor berkenaan.

Mereka menggesa kementerian berkaitan untuk terlibat sama berbincang dan berdebat dengan pihak-pihak berkepentingan sebelum keadaan lebih parah.

“Hidup dipertaruhkan. Sekatan berterusan hanya akan mendatangkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan buat orang yang berada dalam ekosistem kita, selain ahli keluarga.

“Ekosistem kami terdiri daripada petani, nelayan, pembekal, pengedar dan banyak lagi.

“Kami desak Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, dan semua kementerian yang berkait dengar suara kami. Ini adalah seruan minta tolong!

“Ya, industri kami diizinkan “beroperasi” tetapi anda kenakan larangan makan di tempat tanpa berunding atau pertimbangan. Saya yakin kerajaan tidak tahu betapa pentingnya kesan ini terhadap seluruh ekosistem F&B,” tambah Lim.

Sidang media hari ini dihoskan bersama oleh Persatuan Pemilik Restoran dan Bistro (PPRB), F&B Connects (FBCM), Malaysia F&B Alliance, Professional Culinaire Association (PCA), HAPA Group Malaysia dan Malaysia Food and Beverages Executives Association (MFBEA).

Tambah Lim, tidak semua restoran ditubuhkan untuk menggunakan sistem penghantaran atau sebagai dapur awan, yang lebih bergantung pada penghantaran dan bukannya makan di tempat.

Katanya, kesan larangan makan di tempat telah memaksa perniagaan mengkaji semula operasi dan tenaga kerja mereka kerana pendapatan makin menurun.

“Kami labur sejumlah besar untuk perbaiki suasana dan kakitangan secara keseluruhan.

“Ketika larangan makan di tempat dilanjutkan ini, kami masih tanggung kos bulanan seperti sewa, kos kakitangan dan utiliti tetapi pendapatan kami kurang dari 10%. Bagaimana nak bertahan?

“Dengan makan di tempat dilarang, keperluan untuk pelayan sangat sedikit malah kru dapur juga terkena sekali sebab pesanan sangat kurang. Perniagaan terpaksa kaji dan susun semula tenaga kerja untuk kurangkan biaya dan bertahan,” katanya.

Lim, yang juga pemilik kelab malam Dragonfly KL, berkata kerajaan perlu mengklasifikasikan setiap industri sebagai penting dan buang label penting dan tidak penting.

Beliau juga berkata dasar atau prosedur operasi standard (SOP) wajib dibuat berdasarkan data dan sains.

“Kita telah berperang dengan virus ini lebih dari 460 hari sekarang, semua orang sudah letih, sumber daya hampir habis dan kenyataannya tetap, kalah bukanlah pilihan.

“Kami bukan minta bantuan, sebaliknya kami mahu kerajaan bersikap wajar.

“Industri F&B hanya menyumbang kecil sahaja dalam luster baharu sebab banyak perniagaan patuh.

“Kami rayu Putrajaya benarkan orang-orang kami kembali bekerja, selamatkan perniagaan kecil dan bagi kita sumbang kembali kepada negara,” tambah Lim. – 14 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen