KERAJAAN perlu meningkatkan kadar bayaran kepada klinik swasta untuk memberi vaksin Covid-19 agar lebih ramai menyertai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, kata bekas perdana menteri Najib Razak.
Ini akan mengurangkan risiko jangkitan di pusat vaksinasi, katanya di Facebook hari ini selepas 204 petugas kesihatan di pusat pemberian vaksin (PPV) Ideal Convention Center (IDCC) Shah Alam, Selangor disahkan positif Covid-19.
“Mega PPV juga bermaksud risiko untuk ada kluster baharu mega adalah mega. Kita boleh kurangkan risiko ini dengan memaksimumkan penglibatan klinik-klinik swasta.
“Ianya juga lebih memudahkan dan menambah keselesaan sebab semua rakyat tahu di mana terletaknya klinik terdekat dan mereka sudah biasa melawat ke klinik berdekatan,” katanya.
Namun beliau mendakwa banyak klinik swasta yang enggan menyertai program vaksinasi ini sebab kadar bayaran kerajaan dianggap terlalu rendah ataupun kos ditanggung mereka untuk menyertai program vaksinasi adalah terlalu tinggi.
“Ada klinik swasta yang masih tidak ingin menyertai program vaksinasi ini sebab kadar bayaran kerajaan dianggap terlalu rendah.
Pada ketika ini, kadar dibayar kerajaan kepada klinik swasta untuk memberi vaksin secara percuma kepada Rakyat ialah RM14 setiap dos. Pendapat saya ialah ianya masih berbaloi bagi kerajaan dan negara untuk naikkan kadar ini ke RM20 ataupun RM25 satu dos.
“Naikkan kadar bayaran kepada doktor swasta sahaja jika perlu agar vaksinasi Rakyat dipermudahkan dan negara dapat mencapai imuniti kelompok secepat mungkin,” katanya.
Klinik swasta dibayar RM14 bagi satu dos pemberian vaksin daripada ProtectHealth, sebuah syarikat bukan untuk keuntungan di bawah Kementerian Kesihatan.
Tambah Najib, sekiranya semua 7,000 klinik swasta di seluruh negara menyertai program imunisasi kerajaan, jumlah harian pemberian vaksin boleh meningkat sekurang-kurangnya 500,000 sehari.
“Jika dua tiga orang boleh ditugaskan untuk memberi vaksin di setiap klinik, mereka boleh memberi sehingga 100 dos sehari. 7,000 buah sudah 700,000 dos.”
Lebih 400,000 dos vaksin Covid-19 diberikan semalam, yang mana ia merupakan jumlah tertinggi sejak program vaksinasi dimulakan. – 13 Julai, 2021.
Komen