204 petugas PPV IDCC positif Covid-19, kata Khairy


Ragananthini Vethasalam

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata 204 petugas di PPV Pusat Konvensyen Ideal di Shah Alam disahkan positif selepas saringan beramai-ramai bermula pada 10 Julai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Julai, 2021.

HAMPIR separuh daripada seluruh 453 petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam disahkan positif Covid-19, memaksa pusat itu ditutup hari ini sementara mereka yang mengambil suntikan di situ perlu menjalani kuarantin kendiri, umum Khairy Jamaluddin.

Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata 204 petugas di PPV itu disahkan positif selepas saringan beramai-ramai bermula pada 10 Julai, yang keputusannya diperoleh malam tadi.

Saringan itu dibuat selepas dua sukarelawan di PPV IDCC disahkan positif, kata Khairy.

“Ujian ini telah dijalankan pada 10 Julai 2021 melibatkan kesemua petugas. Susulan langkah ini, setakat ini, sebanyak 204 petugas telah didapati positif,” katanya dalam satu sidang media tergempar hari ini.

Khairy menjelaskan sumber jangkitan tidak diketahui.

“Orang ramai yang hadir untuk vaksinasi di IDCC Shah Alam pada 9, 10, 11 dan 12 Julai diminta laksana kawalan kendiri selama 10 hari,” katanya.

Orang ramai yang hadir untuk vaksinasi di IDCC Shah Alam pada 9, 10, 11 dan 12 Julai dikehendaki laksana kawalan kendiri selama 10 hari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Julai, 2021.

Jelas Khairy, pasukan petugas baharu akan diganti selepas PPV itu dibuka semula esok.

“Janji temu baharu kepada orang ramai juga akan diberikan,” tambahnya.

Khairy menyeru orang ramai untuk hadir ke janji temu mereka di PPV IDCC seperti biasa selepas ini dan mematuhi peraturan pencegahan penularan penyakit yang ditetapkan.

“Datang mengikut masa yang diberikan dan tidak terlalu awal serta pastikan terus pulang selepas selesai urusan vaksinasi bagi meminimumkan masa pendedahan di kawasan umum,” katanya.

Sementara itu, Khairy juga mengaku ini adalah kali pertama jangkitan berlaku di PPV, dan semua pusat di seluruh negara telah diarah untuk patuh peraturan pencegahan pandemik.

“Kami sedang mempertimbangkan langkah yang lebih tegas di semua PPV lain dan ini akan diumumkan dari masa ke masa,” katanya.

Sidang media itu diadakan selepas Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) tengah malam tadi mengumumkan PPV IDCC ditutup sehari hari ini untuk kerja-kerja sanitasi.

CITF semalam menyarankan mereka yang hadir untuk vaksinasi di IDCC antara 29 Jun hingga 12 Julai lalu untuk membuat penilaian kendiri dan sekiranya bergejala, supaya menjalankan ujian saringan Covid-19.

Pengumuman CITF tengah malam tadi menyusul mesej yang tular mengatakan seorang lelaki disahkan positif Covid-19 sehari selepas hadir di PPV itu untuk mendapatkan vaksin.

Khairy memberitahu daripada 453 petugas di PPV IDCC, 88% atau 400 orang sudah disuntik vaksin sementara 12% lagi belum. – 13 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen