DR Mahathir Mohamad yang bakal mencecah umur 93 tahun pada Julai akan datang, bukanlah untuk mendesak pengundi muda menerima beliau sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH), kata Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau menggambarkan Dr Mahathir dan barisan pimpinan PH, sekiranya pembangkang memenangi kuasa persekutuan sebagai “pakej inklusif”.
Pakej yang digambarkannya, mempunyai pemimpin berusia, pertengahan umur dan muda.
“Pengundi muda perlu melihat keseluruhan pakej yang kami tawarkan: seorang bekas perdana menteri yang berpengalaman dan timbalan perdana menteri wanita pertama.
“Kami juga mengatakan (pemimpin de facto PKR) Anwar Ibrahim akan dijadikan perdana menteri kelapan,” kata Nik Nazmi kepada The Malaysian Insight.
Beliau mengulas kritikan Barisan Nasional (BN) yang Dr Mahathir sudah melewati tempoh persaraannya dan pertanyaan daripada pihak aktivis mengapa PH tidak mencontohi negara seperti Kanada dan Iceland dengan memilih seorang calon perdana menteri lebih muda.
Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau dan perdana menteri baru Iceland Katrin Jakobsdottir yang masing-masing berusia dalam lingkungan 40-an.
Nik Nazmi berkata umur tidak sepatutnya menjadi faktor kerana pemimpin Parti Buruh UK, Jeremy Corbyn berusia 68 tahun dan Parti Demokrat AS, Bernie Sanders berusia 75 tahun ketika bertanding sebagai presiden.
PH mengumumkan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri dan Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail, 65, sebagai timbalannya sekiranya gabungan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Gabungan itu berkata ia juga akan berusaha mendapatkan pengampunan diraja untuk Anwar, 70, yang akan dibebaskan pada 8 Jun, supaya dapat menggantikan Dr Mahathir secepat mungkin.
Nik Nazmi berkata sebagai bekas pemimpin BN, Dr Mahathir dan Anwar, mereka dapat menenangkan penyokong setia BN sekiranya berlaku perubahan dalam kerajaan persekutuan.
“Anda perlu ingat kita tidak pernah mengalami perubahan dalam kerajaan persekutuan. Bagaimana Najib akan mengakui kekalahan dan bagaimana institusi kerajaan – polis, tentera, Suruhanjaya Pilihan Raya– bertindak balas sekiranya BN kalah (dalam PRU14)?
“Anwar dan Tun (Dr Mahathir) adalah sebahagian daripada kerajaan persekutuan sebelum ini. Mereka mengenalinya. Mereka tahu bagaimana untuk menanganinya,” katanya.
Menjadikan Afrika Selatan sebagai contoh, beliau berkata bekas presidennya, Nelson Mandela, memilih memasukkan presiden kulit putih terakhir F.W. de Klerk sebagai timbalannya, yang membantu Mandela membongkar sistem apartheid.
“Banyak orang kulit hitam tidak berpuas hati dengan keputusannya tetapi Mandela percaya ia adalah cara peralihan yang damai, menyeluruh.”
Beliau menyedari ramai masih sukar menerima Dr Mahathir kerana sejarah lampaunya tetapi beliau percaya bekas perdana menteri itu tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi.
“Saya percaya beliau ikhlas mahu menyelamatkan Malaysia.”
Beliau berkata tidak mungkin Bersatu akan menguasai PH seperti Umno lakukan dalam BN kerana pengagihan kerusi adalah sama rata.
“Beliau tidak boleh melakukan apa sahaja yang diingini, seperti bagaimana Umno mengabaikan parti komponen lebih kecil seperti MCA, Gerakan, MIC, PPP untuk berbaik-baik dengan PAS.
“Untuk bersikap adil kepada Tun (Dr Mahathir), beliau mendengar pandangan semua orang dalam mesyuarat.”
Daripada 165 kerusi Parlimen di Semenanjung, Bersatu diperuntukkan 52, PKR (51), DAP (35) dan Amanah (27).
Sekalipun jika Bersatu memenangi kesemua 52 kerusi, jurangnya masih tidak begitu besar seperti antara Umno dan parti komponen kecil BN di Semenanjung, katanya.
Nik Nazmi menambah yang PH secara keseluruhannya mempunyai lebih ramai ahli politik muda yang membuat keputusan berbanding BN.
“Mereka mungkin mempunyai seorang pemimpin muda popular, Khairy Jamaluddin. Kami mempunyai seluruh pasukan - Naib Presiden PKR Rafizi (Ramli), Nurul Izzah (Anwar), (Ketua Pemuda Bersatu) Syed Saddiq (Syed Abdul Rahman), (ahli strategi media sosial DAP) Yeo Bee Yin yang diberi tanggungjawab parti dan negeri yang diperintah.”
Speaker Selangor Hannah Yeoh (DAP) adalah wanita pertama dan termuda yang dijadikan speaker pada 2013 dan Siti Aishah Shaik Ismail dari Pulau Pinang hanya berusia 30 ketika PKR melantiknya sebagai senator, katanya.
Nik Nazmi juga menggesa pengundi belia agar membandingkan dasar dan program yang ditawarkan oleh PH dan BN dalam manifesto mereka dan bukan hanya menumpukan perhatian membandingkan calon perdana menteri mereka.
PH telah memberi respons kepada sentimen umum pengundi muda bagi kadar upah lebih tinggi, kos sara hidup yang rendah, lebih banyak rumah mampu milik dan ekonomi dengan menjanjikan tindakan untuk mencapai matlamat dalam manifesto, katanya.
Nik Nazmi juga bersedia berdebat dengan Pemuda BN ketika ia melancarkan manifesto untuk pengundi muda. – 16 Januari, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Nizam Hasbullah · Ulasan